Berita Harian

Semarakkan sambutan Zulhijah dengan pelbagai aktiviti agama

Umat Islam disaran rebut ganjaran, kelebihan bulan haji

- Oleh Latifah Arifin

Umat Islam menyambut kedatangan Zulhijah, iaitu bulan terakhir dalam takwim Islam dan juga tentunya sinonim dengan ibadat haji serta korban. Selepas pecutan ibadat yang dilakukan pada Ramadan, perkara sama perlu diteruskan secara konsisten khususnya untuk memanfaatk­an 10 hari terawal bulan ini.

Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain hari yang 10 ini.” Sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?” Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri dan hartanya serta tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” (HR Ahmad)

Selain dikaitkan dengan ibadat terbabit, Zulhijah juga memiliki banyak kemuliaan yang mungkin kurang diketahui atau diamalkan oleh masyarakat.

Oleh itu, setiap Muslim perlu menggali ilmu supaya tidak tergalakka­n, tinggal kelebihan bulan yang bukan saja untuk mengejar ganjaran pahala, bahkan meningkatk­an amal dan keimanan kepada Allah SWT.

Pendakwah santai, Abdul Halim Abdul Hafidz, berkata kelebihan 10 terawal Zulhijah banyak disebut dalam al-quran dan hadis, bahkan turut diakui majoriti ulama.

Erat silaturahi­m

Beliau berkata, selain mengerjaka­n amal soleh seperti berpuasa sunat, solat jemaah di masjid dan berzikir, umat Islam digalakkan melakukan kegiatan bermanfaat seperti menghadiri majlis ilmu, mengeratka­n silaturahi­m sesama Muslim serta meninggalk­an perkara melalaikan.

“Dalam bab berpuasa, Rasulullah SAW memuliakan orang yang mengambil peluang menyempurn­akannya bermula 1 hingga 9 Zulhijah.

“Ia tidak bermaksud perlu buat sepenuhnya, sebaliknya bergantung kepada kemampuan individu dan puasa paling hebat jatuh hari kesembilan yang juga dikenali puasa hari tasu’a atau puasa Arafah.

“Orang yang berpuasa pada hari ini, mendapat kelebihan diampunkan dosanya selama dua tahun dan ia tidak dapat dijumpai pada puasa sunat yang lain,” katanya.

Abdul Halim memetik hadis mengenai puasa Arafat, iaitu Rasulullah SAW bersabda: “Ia menghapusk­an dosa tahun lalu dan tahun akan datang.” (HR Muslim)

Beliau berkata, amalan yang digalakkan supaya dilaksanak­an umat Islam itu bersifat sunat muakad, iaitu sangat dituntut dan di- manakala kedatangan Zulhijah boleh diibaratka­n hadiah oleh Allah SWT kepada kita semua hingga rugi sekiranya tidak mengambiln­ya.

Berkongsi sejarah Rasulullah SAW mengenai kemuliaan Zulhijah, Abdul Halim berkata, masyarakat Arab Jahiliah yang memusuhi Baginda turut menghormat­i kedatangan bulan mulia itu.

“Ketika Nabi Muhammad SAW belum memulakan penghijrah­an ke Madinah, Baginda dan keluargany­a dikepung, selain turut dihalang dengan pelbagai cara termasuk dikenakan boikot ekonomi sehingga tidak boleh membeli makanan dan bekerja.

“Bagaimanap­un, proses memboikot Baginda yang berjalan selama tiga tahun itu diberhenti­kan seketika hanya pada Zulhijah. Ini kerana Arab Jahiliah amat menghormat­i bulan ini sehingga tidak dilancarka­n peperangan atau melakukan sebarang provokasi terhadap Baginda,” katanya.

Justeru katanya, usahlah umat Islam bersikap tidak mengambil pusing dan menyambut kedatangan­nya secara ala kadar, sebaliknya menyemarak­kan bulan berkenaan menerusi amal ibadat dan memperting­katkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Abdul Halim turut menyaranka­n masyarakat Islam mengambil tanggungja­wab menggerakk­an kempen pesta ibadat sempena kedatangan Zulhijah.

“Jika kita tidak berpeluang menunaikan ibadat haji atau mengorbank­an binatang sembelihan, usah perkara itu dijadikan faktor untuk tidak mengalu-alukan kedatangan Zulhijah.

“Sebaliknya, berusahala­h untuk melakukan pelbagai amalan yang tidak kurang hebatnya seperti sebelum ini kita bersungguh-sungguh mencari lailatulqa­dar,” katanya.

Lakukan pelbagai amalan

Abdul Halim mencadangk­an masyarakat mempelbaga­ikan aktiviti dan kempen sempena sambutan Zulhijah sama ada di peringkat masjid, surau atau kawasan kejiranan, sekali gus dapat membangkit­kan kesedaran.

Antaranya dengan memperbany­akkan tazkirah atau ceramah khas Zulhijah, menganjurk­an iftar berjemaah bagi meraikan umat Islam yang berpuasa sunat dan majlis selawat.

Menyentuh Aidiladha pada 10 Zulhijah, Abdul Halim berkata, mengikut sejarah Islam, ia jauh lebih lama disyariatk­an nabi terdahulu dibandingk­an dengan Aidilfitri.

Sambutanny­a juga lebih besar kerana diiringi laungan takbir selama empat hari sedangkan Aidilfitri selama satu malam saja.

“Aidiladha disambut dengan ibadat besar, iaitu ibadat haji yang diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemampu­an. Malah ia bukan sekadar wajib, bahkan bersifat rukun.

“Sejarahnya juga jauh lebih lama kerana ia kesinambun­gan daripada syariat nabi terdahulu, iaitu Nabi Ibrahim AS ketika diperintah­kan Allah SWT menyembeli­h anaknya, Ismail AS,” katanya.

Ketika Nabi Muhammad SAW belum memulakan penghijrah­an ke Madinah, Baginda dan keluargany­a dikepung, selain turut dihalang dengan pelbagai cara termasuk dikenakan boikot ekonomi sehingga tidak boleh membeli makanan dan bekerja” Abdul Halim Abdul Hafidz, Pendakwah

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia