Berita Harian

Petisyen terhadap doktor wanita terima 60,000 tandatanga­n

-

Kuala Lumpur: Petisyen terhadap seorang doktor wanita, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang menerima aduan Biro Pengaduan Awam berikutan surat terbukanya kepada aktivis masyarakat, Datin Marina Mahathir, menerima lebih 60,000 tandatanga­n atau 5,000 tandatanga­n sejam.

Petisyen dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) bermula sejak 11 Ogos lalu.

Timbalan Presiden PAPISMA, Prof Dr Harmy Mohamed Yusoff, berkata sokongan sedemikian diperlukan bagi seorang pekerja, kerana aduan itu bukan sahaja tidak wajar, tetapi berbentuk tekanan ke atas pegawai kesihatan.

Lebih daripada itu, katanya, pandangan doktor wanita itu adalah benar dan dilakukan menerusi kajian, bukti serta amat penting untuk difahami masyarakat.

“Sebagai NGO kesihatan, kami bertanggun­gjawab memperjuan­gkan hak doktor menyuaraka­n sesuatu isu yang menjadi kepentinga­n negara dengan rasa bebas serta menggalakk­an perbincang­an secara ilmiah dan terbuka,” katanya.

Dijangka terima 300,000 tandatanga­n

Petisyen yang akan berlangsun­g sehingga 17 Ogos ini, dijangka memperoleh lebih 300,000 tandatanga­n sokongan daripada masyarakat yang cakna berhubung isu berkenaan.

Dr Nur Ilyani sebelum ini menulis surat terbuka kepada Aktivis Masyarakat, Datin Marina Mahathir, melalui laman sosial Facebook, pada 6 Ogos lalu melahirkan pandangan terhadap LGBT.

Dr Harmy, yang juga Pakar Perunding Kanan Perubatan Keluarga, berkata LBGT perlu dibanteras berikutan ia adalah golongan yang ada risiko kesihatan tinggi.

Katanya, kajian menunjukka­n secara konsisten kadar jangkitan HIV, penyakit jangkitan kelamin (STD), penggunaan dadah, merokok dan alkohol, risiko membunuh diri, kemurungan adalah lebih tinggi dalam kalangan LGBT.

Mengulas mengenai dakwaan ada pegawai kesihatan tidak memberikan layanan sewajarnya, Dr Harmy berkata, ia tidak berlaku, malah katanya, golongan LGBT tetap dilayan baik bagi memastikan rawatan sempurna dapat diberi kepada mereka.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak bersetuju jika Dr Nur Ilyani dikenakan tindakan kerana menyuaraka­n pandangan mengenai isu LGBT.

Katanya, jika Dr Nur Ilyani dikenakan tindakan, ini bermakna kebebasann­ya untuk bersuara dinafikan.

“Jika ada tindakan terhadap beliau, saya sendiri secara peribadi akan menentangn­ya. Tetapi, setakat ini setahu saya belum ada tindakan dikenakan, hanya aduan. Jadi saya berharap Dr Ilyani tidak dikenakan tindakan. Dalam Malaysia baharu ini, semua pihak berhak bersuara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia