Tak memilih, janji puas hati
Wan Sharmila percaya watak pembantu juga mampu tinggalkan impak
Lebih sedekad membina nama sebagai pelakon, Wan Sharmila bersyukur, peluangnya untuk meneroka kerjaya yang dicintainya masih terbuka luas. Ketika industri hiburan begitu terbuka menerima kehadiran bakat baharu, wanita kelahiran Johor Bahru ini sentiasa berlapang dada kerana rezeki untuk dia mengukir nama tidak pernah tertutup.
Pemilik nama Wan Sharmila Wan Muhamed, 36, yakin kepercayaan itu diperoleh berkat kerja kerasnya menjaga amanah, selain tidak sambil lewa setiap kali menerima peluang baharu.
“Persaingan semakin sengit, malah sekarang penerbit dan pengarah mempunyai banyak pilihan untuk mengetengahkan pelakon baharu. Sebagai pelakon senior, tempias itu sedikit sebanyak tetap dirasai. Namun, saya percaya rezeki sentiasa terbuka untuk mereka yang berusaha.
“Alhamdulillah, bakat saya masih dihargai dan dipercayai. Semua itu tidak mungkin diperoleh jika saya tidak serius menjaga disiplin kerja. Sejak awal bertapak, saya begitu menjaga kualiti kerja kerana tidak mahu mensia-siakan harapan yang diberikan,” katanya.
Mula dikenali menerusi drama antaranya dan
Wan Sharmila yang ditemui di lokasi penggambaran,
berkata, dia tidak pernah memandang ringan setiap tawaran kerja yang datang.
Tak leka diulit pujian
“Paling penting, kita perlu rajin membuat persediaan. Lakukan kajian watak di rumah dan jangan ambil mudah apabila menerima skrip. Setiap kali diberikan watak baharu, saya akan baca dan fahami keseluruhan jalan cerita.
“Pastikan kita betul-betul memahami watak yang diberikan. Jika tidak faham atau kurang jelas, jangan malu bertanya pendapat terutama pengarah. Dari situ, kita dapat belajar sesuatu yang baharu, sekali gus menjadikan kita lebih matang sebagai pelakon,” katanya.
Sebagai pelakon, Wan Sharmila juga tidak pernah memilih watak atau meletakkan syarat hanya menerima untuk peranan utama. Baginya, keberkesanan lakonan bukan hanya terletak pada watak utama, namun perjalanan keseluruhan drama turut memainkan peranan penting.
“Saya tidak ada masalah untuk terima watak pembantu. Memadai jika watak yang dijayakan memberikan impak kepada mereka, itu sudah membuat saya berpuas hati.
“Tidak perlu terlalu memilih kerana kemampuan seseorang pelakon itu berbeza,” katanya memberikan lakonan berkesan menerusi watak pembantu dalam produksi 7 Hari Mencintaiku, Emil Emilda, Rona Roni Makaroni dan Nora Elena.
Rindu beraksi di layar lebar
Wan Sharmila berkata, dia puas apabila penonton memberikan maklum balas positif terhadap lakonannya. Terbaru, kemunculannya dalam drama komedi, Abang Lori Ohsem turut mendapat reaksi baik penonton.
“Saya tidak sangka watak sebagai juruterbang dalam drama itu disukai. Ramai yang menghantar mesej peribadi di laman sosial, Instagram dan berharap drama itu akan disambung,” katanya.
Namun, katanya, pujian penonton bukan ukuran untuk dia terus selesa dan menganggap sudah memberikan lakonan terbaik. Baginya, banyak lagi ilmu yang harus digali dan dia perlu bersedia menerima cabaran membawakan watak yang lebih berat.
Lebih menyerlah sebagai pelakon drama, Wan Sharmila mengakui, jauh di sudut hatinya, sentiasa tersimpan keinginan untuk kembali berlakon filem. Pernah membintangi filem seperti Bisikan Syaitan dan Romeo Kota,
Wan Sharmila berkata, dia memang menyimpan angan untuk kembali beraksi di bawah pengarah terkenal, Osman Ali.
“Saya memang teringin untuk kembali berlakon filem. Bukan tamak, cuma ingin menambah pengalaman. Kalau ada rezeki, mengapa tidak? Saya pernah berlakon filem, tetapi saya mengharapkan peluang yang lebih besar,” katanya.
Hati belum terisi
Masih bersendirian selepas berpisah pada 2009, Wan Sharmila mengakui, masih berdoa supaya dipertemukan jodoh yang baik. Meskipun sudah terbiasahidupsendirian,diatetapmendambakan lelaki untuk menemani hidupnya.
“Saya berharap akan dipertemukan jodoh, tetapi bukan bermakna saya terdesak. Sama seperti wanita lain, saya juga mengharapkan dipertemukan jodoh yang akan membahagiakan saya hingga ke akhir hayat,” katanya.
Wan Sharmila berkata, pada usianya kini, bukan lagi masa untuk bermain cinta seperti pasangan muda, sebaliknya dia berharap dipertemukan lelaki yang serius membawanya melangkah ke alam perkahwinan. Berkongsi drama 15 episod, Bahagia
Bukan Bidaan yang sedang menjalani dalam penggambaran, Wan Sharmila berkata, dia dirinya sekali lagi diberikan watak bertudung, bergandingan dengan Nora Danish.
“Saya menjadi sahabat baik Nora, namun untuk mempelbagaikan karakter saya mencorakkannya lebih kasar dan lasak. Dalam drama ini, saya akan selalu mendampingi Nora dan cuba mempertahankan dirinya,” katanya mengenai drama arahan Eoon Shuhaimi itu.