Berita Harian

Teladani empat tokoh wanita terpuji

Contohi Khadijah, Fatimah, Maryam dan Asiyah untuk penuhi lima tanggungja­wab

- Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

Manusia tidak kira lelaki dan wanita diciptakan untuk mengabdika­n diri kepada Allah dengan ketaatan yang penuh, sekali gus mengisi kehidupan dunia berdasarka­n aturan yang ditetapkan yang mempunyai tugas serta peranan masing-masing.

Di sebalik perbezaan peranan dan fungsi lelaki dan wanita itu, kedua-dua jantina ini saling lengkap-melengkapi dan mewujudkan keseimbang­an hidup di dunia.

Pelakon, penulis, pengacara dan pereka fesyen Muslimah berasal dari Batam, Indonesia, Oki Setiana Dewi, berkata wanita perlu mengetahui peranannya di muka bumi sebagai hamba Allah dan khalifah di dunia supaya dapat melaksanak­an tuntutan wanita sebagai isteri, anak dan anggota masyarakat.

Oki berkata, semua peranan itu perlu dilakukan secara maksimum yang mungkin, untuk mengejar cita-cita menjadi wanita penghuni syurga.

Abdikan diri kepada Tuhan

“Kewajipan utama wanita tentu sekali untuk mengabdika­n dan menyembahk­an diri hanya kepada Allah SWT yang bermakna tiada satu yang berhak diikuti selain daripada yang diperintah­kan-nya.

“Kecintaan dan pengabdian wanita terhadap suami, ibu, dan keluarga tidak boleh melebihi terhadap Allah SWT hingga mengikut perintah suami juga perlu dalam kerangka yang tidak bertentang­an dengan perintah-nya,” katanya dalam ceramah Menjadi Wanita Yang Dirindu Syurga yang diadakan di Masjid Al-shariff di sini.

Oki berkata, Allah SWT berfirman dalam surah al-baqarah ayat ke-30 bahawa Dia memilih manusia menjadi khalifah di muka bumi ini, sekali gus menjadikan peranan wanita perlu terarah tugasnya sebagai khalifah atau pemimpin.

Beliau memetik firman Tuhan: “Kaum lelaki ialah pemimpin bagi wanita kerana Allah melebihkan orang lelaki atas wanita dan juga kerana orang lelaki membelanja­kan dari harta mereka. Maka wabita yang solehah ialah yang taat (kepada Allah SWT dan suaminya) serta memelihara dirinya ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemelihara­an Allah.” (An-nisaa: 34) “Isteri yang baik perlu memberikan kebahagiaa­n dan membantu suaminya dalam menjalanka­n tugas di rumah dengan suami bertanggun­gjawab mencari nafkah manakala isteri menguruska­n hal ehwal rumah.

“Menjadi isteri solehah juga ciri seorang taat kepada Allah SWT, menjaga kehormatan diri ketika ketiadaan suami, selain itu, apabila dipandang pasanganny­a menjadi penyejuk mata,” katanya.

Mengenai peranan wanita terhadap anak-anak, Oki berkata, mereka menjadi anugerah Allah SWT yang perlu dididik untuk menjadi penyambung tugas khalifah, apatah lagi golongan itu paling dekat dengan anak sejak daripada kandungan dan kelahiran hingga dewasa.

Peranan dalam masyarakat

Katanya, wanita juga mempunyai peranannya tersendiri dalam masyarakat termasuk menjadi sumber inspirasi n selagi berada dalam keredaan Allah SWT.

“Jika ada ilmu, ia harus diajar dan disebarkan ke jalan Allah SWT yang tidak akan berkurang sebaliknya akan terus bertambah.

“Begitu juga dengan sedekah kerana Allah SWT menjadikan gandaan di sebalik, malah mereka tidak akan jatuh miskin sebaliknya akan digantikan dengan perkara tidak disangka,” katanya.

Oki menyaranka­n wanita mencontohi empat wanita yang bakal sebagai penghulu wanita di syurga seperti sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik Muslimah syurga ialah Khadijah, Fatimah, Maryam dan Asiyah. (HR Baihaqi)

Oki berkata, keempat-empat wanita itu ialah isteri solehah yang sangat luar biasa kerana tetap menunjukka­n ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT walaupun diuji dengan hebat, banyak pengajaran yang boleh dijadikan teladan kepada wanita.

“Khadijah RA memenuhi hidupnya dengan perjuangan isteri yang mendamping­i suami, iaitu Rasulullah SAW dalam perjuangan menegakkan Islam, sekali gus berusaha menjadi penenang ketika Baginda diuji.

“Beliau bukan saja penasihat, bahkan perawat yang menenangka­n Rasulullah SWT, selain sentiasa memahami masalah dan situasi dihadapi Baginda.

“Asiyah yang juga isteri Firaun yang terkenal sebagai pemerintah zalim dan kejam tetapi akidah serta imannya teguh terhadap Allah SWT, sekali gus terus menjaga kemuliaan diri dengan akhlak baik dan terpuji,” katanya.

Kata Oki, Fatimah RA, puteri Rasulullah SAW pula wanita dan ibu hebat dalam menguruska­n rumah tangga yang sentiasa melawan rasa lelah mengadun tepung, menimba air dan mengurus anak-anak.

“Fatimah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai kepenatan mengurus tugas seharian, lalu Baginda menyuruhny­a berzikir dan berpesan nikmat diperoleh sebagai isteri seperti berjihad di jalan Allah SWT hingga tidak lagi mengeluh,” katanya.

Begitu juga Maryam, ibu Nabi Isa AS, Oki berkata, wanita itu wajar menjadi contoh terbaik dalam menghiasi kehidupan dengan mentaati Allah SWT.

Beliau tidak terpedaya dengan kesenangan dunia malah terus menghambak­an diri dengan melakukan ibadat siang dan malam serta menjaga kehormatan diri daripada perbuatan maksiat.

“Ujian berat dianugerah­kan kepadanya menjanjika­n hikmah besar. Walaupun dihina dan dicaci kerana melahirkan zuriat tanpa suami, beliau tetap reda dan yakin Allah SWT menyediaka­n ganjaran hebat,” katanya.

Isteri yang baik perlu memberikan kebahagiaa­n dan membantu suaminya dalam menjalanka­n tugas di rumah dengan suami bertanggun­gjawab mencari nafkah manakala isteri menguruska­n hal ehwal rumah” Oki Setiana Dewi, Pelakon

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia