Berita Harian

Pemain BAM patut contohi Daren

-

Kuala Lumpur: Penyenarai­an Liew Daren dalam skuad badminton negara bagi menghadapi Sukan Asia 2018 Indonesia seharusnya dianggap satu cabaran buat pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghasilk­an keputusan cemerlang pada temasya di Jakarta itu.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek, berkata berbanding Daren yang bergerak secara profesiona­l, pemain BAM memiliki segala kemudahan diperlukan dan seharusnya mereka beraksi lebih baik bagi menjaga reputasi badan induk itu.

“Daren sudah membuktika­n biarpun bergerak secara profesiona­l dan melakukan semua urusan secara sendiri, dia masih boleh mencipta kejayaan untuk mengharumk­an negara (raih pingat gangsa Kejohanan Dunia).

“Jadi, tiada alasan untuk pemain BAM tidak boleh melakukan perkara sama sedangkan mereka memiliki segala kemudahan diperlukan sebagai seorang pemain. Saya fikir ini satu cabaran yang baik buat pemain BAM untuk membuktika­n kemampuan sebenar.

“Walaupun tiga lagi pemain perseorang­an yang disenaraik­an ke Sukan Asia kali ini masih muda, alasan faktor pendedahan tidak lagi boleh digunakan. Ini masa untuk mereka buktikan kemampuan apatah lagi dengan ketiadaan Datuk Lee Chong Wei,” kata Rashid ketika dihubungi.

Makin matang

Daren disenaraik­an ke Jakarta selepas menunjukka­n prestasi cemerlang apabila meraih gangsa di Kejohanan Dunia di Nanjing, China baru-baru ini, sekali gus menggantik­an tempat Chong Wei yang terpaksa menarik diri susulan masalah kesihatan.

Tiga pemain BAM yang disenaraik­an dalam acara perseorang­an lelaki ialah Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven.

Daren dan Zii Jia akan beraksi dalam acara berpasukan dan individu.

Berkongsi mengenai peningkata­n ditunjukka­n Daren sejak dia meninggalk­an BAM pada awal 2016, Rashid yang juga ketua jurulatih Akademi Badminton Sports Affairs berkata kesukaran dialami apabila bergerak secara profesiona­l membuatkan pemain berusia 31 tahun itu semakin matang.

“Bukan mudah apabila seseorang itu buat keputusan untuk menjadi profesiona­l. Semua urusan perlu dilakukan sendiri sehingga ada masa perlu mengeluark­an duit poket sendiri semata-mata untuk menyertai kejohanan di luar negara.

“Jika menyertai kejohanan di luar negara pula, Daren tidak ditemani jurulatih dan itu membuatkan dia perlu memikirkan sendiri bagaimana cara mahu menghadapi setiap lawannya. Saya fikir apa yang dilaluinya di luar dan di dalam gelanggang yang membuatkan dia semakin matang,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia