De Paula sasar 49 gol lagi
Penyerang Kuala Lumpur tekad ledak jaringan ke-100 musim ini
Selepas meledak empat gol untuk membantu Kuala Lumpur menewaskan FELCRA FC dalam aksi Piala Malaysia malam kelmarin, penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula terus ‘bernafsu’ memburu gol.
Jaringan dihasilkan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu membolehkannya mengumpul 51 gol dalam tempoh tidak sampai dua musim bersama skuad The City Boys.
Justeru, angka jaringan ke-100 menjadi impiannya selepas ini.
“Tahun lalu saya menjaringkan enam gol (menentang ATM) dalam saingan Liga Perdana. Sekarang saya sudah menyumbat 51 gol dan saya harap dapat mencapai sehingga 100 gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.
Pandang ke depan
Bagaimanapun De Paula enggan mendabik dada dengan pencapaian itu kerana dia percaya ia tidak boleh dilakukan tanpa bantuan rakan sepasukan.
“Ini keputusan yang baik, saya gembira dapat menjaringkan gol tapi empat gol ini saya tujukan kepada rakan sepasukan dan jurulatih,” katanya.
Kemenangan besar ke atas FELCRA itu dilihat kebangkitan Kuala Lumpur selepas dibelasah 1-5 oleh Terengganu dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A minggu lalu sehingga mengakibatkan jurulatih Fabio Maciel digantikan dengan Yee Fatt Chong.
“Kami tahu apa yang berlaku minggu lalu, jurulatih baharu memberi kepercayaan dan kebebasan kepada kami untuk bermain.
“Kami bersama-sama (Maciel) tahun lalu sehingga berjaya ke Liga Super tapi perkara seperti ini boleh berlaku dalam bola sepak. Kami hanya perlu pandang ke depan,” katanya.