Ketidakhadiran tak disebut kerana belum angkat sumpah
Speaker mengakui ada menerima surat daripada peguam Musa
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali menjelaskan ketidakhadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman di persidangan DUN kali ini tidak disebut di dalam dewan kerana beliau belum mengangkat sumpah.
Syed Abas berkata, pihaknya perlu mengambil kira kedudukan itu walaupun mengakui ada menerima surat daripada peguam Musa yang memaklumkan sebab ketidakhadiran bekas Ketua Menteri Sabah itu pada persidangan DUN kali ini.
“Tiada keperluan untuk menyebut namanya (Musa) kerana beliau belum mengangkat sumpah. Saya tak mahu komen mengenai perkara ini dan kandungan surat (Musa) buat masa ini. Tunggu kenyataan saya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di luar dewan persidangan DUN Sabah, semalam.
Mengulas lanjut, Syed Abas berkata, beliau akan membalas surat Musa tetapi enggan mengulas lanjut mengenai kandungannya.
Terima dua surat
Terdahulu, Syed Abas ketika memulakan sesi persidangan DUN pada jam 10 pagi semalam hanya menyebut menerima dua surat mengenai ketidakhadiran ADUN pada persidangan kali ini iaitu daripada Chong Ket Kiun (Dap-elopura) dan Datuk Osman Jamal (Bebas-balung).
Ini kali ketiga Musa tidak hadir persidangan DUN Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Minggu lalu, Musa menerusi peguamnya meminta tambahan masa untuk mengangkat sumpah sebagai ADUN disebabkan masih menerima rawatan di United Kingdom.
Berdasarkan peruntukan undang-undang, bekas Ketua Menteri Sabah itu mempunyai tempoh 90 hari untuk mengangkat sumpah dari tarikh persidangan pertama DUN iaitu pada 11 Jun lalu, sebelum diisytiharkan kosong jika gagal berbuat demikian.