Berita Harian

EQUANIMITY BOLEH DIJUAL ATAU TIDAK?

Urus niaga secara telus walaupun kes 1MDB masih berjalan

- Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

Kapal layar mewah, Equanimity, dikaitkan dengan ahli perniagaan Jho Low Teck atau Jho Low, yang disyaki terbabit dalam skandal rasuah syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), akan dijual dalam tempoh tiga atau empat bulan jika tiada pihak menuntut pemilikann­ya.

Peguam Negara, Tommy Thomas, menegaskan yang kapal layar mewah terbabit boleh dijual menerusi urus niaga yang telus, walaupun proses perundanga­n berkaitan skandal 1MDB masih berjalan.

Beliau berkata, tidak ada mana-mana negara yang mahu menyimpan kapal mewah berkenaan yang dianggarka­n bernilai RM1 bilion.

“Ia ( jualan) boleh dilakukan dalam masa tiga atau empat bulan. Dalam hal ini, kami adalah pemilik berkepenti­ngan kerana kapal itu dibeli dengan dana 1MDB,” katanya.

Wang jualan kapal

Thomas berkata, wang yang diperoleh melalui penjualan kapal itu akan dipindahka­n ke dalam satu akaun tetap.

“Selanjutny­a wang berkenaan akan diserahkan kepada pihak yang berjaya membuktika­n pemilikan kapal terbabit dalam tuntutan sivil,” katanya.

“Kerajaan Malaysia dan 1MDB adalah plaintif, manakala permohonan ex-parte (sementara) untuk merampas kapal ini dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Kami mengguna pakai akta pengubahan wang haram dalam proses perundanga­n ini kerana Undang-undang Admiralti adalah universal,” katanya.

Cabar lantik peguam

Dalam perkembang­an berkaitan juga, Thomas mencabar Jho Low supaya melantik peguam yang pakar dalam Undang-undang Admiralti berikutan kritikan melalui peguamnya yang mendakwa proses penyitaan Equanimity adalah tidak sah.

“Ini adalah satu proses perundanga­n yang telus. Beliau (Jho Low) boleh lantik sesiapa sahaja atau mana-mana peguam pakar dalam Undang-undang Admiralti untuk cabar perintah penyitaan Equanimity,” katanya.

Menjawab soalan mengenai jet peribadi Bombardier Global 5000 didakwa milik Jho Low, yang turut dituntut Malaysia untuk dibawa pulang, Tommy berkata, beliau belum menerima arahan mengenainy­a.

“Sekarang ada sebuah pesawat di kaki langit sana, apabila ia mendarat di negara ini, baru kita akan putuskan untuk mengambil peguam yang pakar dalam undang-undang penerbanga­n,” katanya.

Thomas turut ditanya oleh seorang wakil Badan Peguam mengenai pendiriann­ya berhubung kes perkahwina­n bawah umur membabitka­n lelaki berusia 41 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Kelantan, baru-baru ini.

Beliau berkata, kertas siasatan mengenainy­a sudah dihantar ke pejabatnya, bagaimanap­un belum berpeluang meneliti dokumen terbabit.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia