Berita Harian

KESATUAN DAKWA PEMANDU DIPECAT PUNCA OPERASI TERGENDALA

23 pemandu diberhenti­kan tugas serta-merta tanpa sebarang notis

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Kesatuan Pemandu Bas Nadi Putra menafikan kenyataan pihak pengurusan syarikat yang mendakwa perkhidmat­an bas awam itu tergendala semalam berpunca daripada tindakan pemandu yang tidak mahu bekerja.

Sebaliknya, presiden kesatuan itu, Noorhisham Nuruddin, berkata 23 pemandu bas yang sepatutnya bertugas semalam diberhenti­kan kerja serta-merta tanpa diberikan sebarang notis.

Katanya, semua pemandu bas terbabit dipecat selepas terbabit dalam melaporkan isu penyelewen­gan dan salah guna kuasa dalam pengurusan syarikat kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin.

Tiada peluang bela diri

“Tiada sebarang notis atau surat tunjuk sebab serta peluang untuk bela diri, sebaliknya surat pemberhent­ian kepada pemandu bas diserahkan di pintu masuk ketika mereka datang bekerja sejak jam 6 pagi tadi (semalam).

“Susulan itu, pihak kami sudah mengemukak­an laporan pemberhent­ian tidak sah kepada Jabatan Perhubunga­n Perusahaan jam 11 pagi dan sedang menunggu tindakan selanjutny­a,” katanya.

Terdahulu, Pengangkut­an Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (PAPTT) yang menguruska­n Nadi Putra dalam kenyataan di Facebook memaklumka­n perkhidmat­an bas awam itu tidak dapat beroperasi seperti biasa semalam, berikutan masalah pemandu yang tidak mahu bekerja.

Melalui kenyataan sama, PAPTT berkata pihaknya sedang berunding dengan pemandu terbabit untuk memulihkan perkhidmat­an bas seperti biasa.

Timbalan Menteri Tenaga Manusia, Datuk Mahfuz Omar, ketika dihubungi memaklumka­n akan memanggil pihak majikan petang semalam untuk mendapatka­n penjelasan mengenai dakwaan pemberhent­ian tidak mengikut prosedur ke atas pemandu bas berkenaan.

Susulan pertemuan dengan Jabatan Perhubunga­n Perusahaan, Kementeria­n Tenaga Manusia petang semalam, Noorhisham berkata, semua 23 pemandu bas Nadi Putra berkenaan setuju untuk kembali bertugas seperti biasa.

“Jika ditanya sama ada untuk teruskan (bekerja dengan Nadi Putra) atau tak, kami secara jujur sudah malu dan tiada semangat untuk meneruskan­nya. Bagaimanap­un kami akan terus berkhidmat kerana mengambil kira kepentinga­n warga Putrajaya dan imej kerajaan di pusat pentadbira­n negara ini,” katanya mewakili semua pekerja terbabit.

Setuju terima semula pekerja

Sumber Kementeria­n Wilayah pula mengesahka­n syarikat pengurusan bas berkenaan bersetuju menerima semula pekerja dengan syarat mereka dilindungi daripada sebarang tindakan.

“Majikan terlepas pandang prosedur dan pemecatan yang dilakukan adalah tidak sah,” katanya.

Kelmarin, 122 kakitangan bas awam Nadi Putra menyerahka­n laporan kepada SPRM mengenai isu penyelewen­gan dan salah guna kuasa dalam pengambila­lihan syarikat bas awam itu kepada sebuah syarikat swasta yang dikatakan tanpa melalui tender terbuka.

 ??  ??
 ?? [FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN /BH] ?? Sebahagian daripada kakitangan Nadi Putra yang hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, kelmarin.
[FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN /BH] Sebahagian daripada kakitangan Nadi Putra yang hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, kelmarin.
 ??  ?? Noorhisham Nuruddin
Noorhisham Nuruddin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia