Syarikat tempatan bimbang dasar belum jelas
Kuala Lumpur: Ketidakpastian mengenai dasar kerajaan menjadi kebimbangan utama syarikat tempatan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Syarikat penyelidik pasaran bebas, Ipsos Sdn Bhd, mendapati daripada 100 syarikat Malaysia yang menyertai kaji selidik bertajuk ‘Apakah yang Membimbangkan Perniagaan Malaysia’, menzahirkan kebimbangan berhubung dasar ekonomi seperti cukai, perdagangan dan pelaburan serta menghalang keputusan perniagaan yang ketara.
Hasil kaji selidik itu mendapati, kekurangan hala tuju dasar yang jelas dan tegas, meningkatkan risiko untuk perancangan perniagaan jangka panjang.
“Walaupun wujudnya komunikasi antara kerajaan baharu, masih ada komuniti perniagaan berpendapat wujud kekurangan hala tuju yang jelas dan menyeluruh daripada kerajaan.
“Terdapat juga keinginan dalam kalangan perniagaan untuk mendapat penjelasan mengenai status beberapa projek mega yang dimulakan kerajaan sebelum ini.
“Perubahan besar yang berlaku ketika ini melahirkan kebimbangan kemungkinan penamatan kontrak atau kelewatan projek yang sudah berada dalam perancangan perniagaan mereka,” katanya.
Sejumlah 100 responden perniagaan yang menyertai kaji selidik Ipsos membabitkan syarikat perusahaan besar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan multinasional (MNC) tempatan.
Kaji selidik itu turut menggariskan penyusutan nilai ringgit menjadi kebimbangan kedua komuniti perniagaan terutama firma yang bergantung kepada import bahan perantara memandangkan kejatuhan mata wang negara akan meningkatkan kos pengeluaran serta mengurangkan margin keuntungan.
Menurut kaji selidik itu, kekhuatiran terhadap kos yang terbabit dalam pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga menjadi kebimbangan komuniti perniagaan di Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Ipsos, Arun Menon, berkata kebanyakan responden perniagaan menyatakan kerajaan harus menumpukan usaha memastikan dasar yang konsisten dan menstabilkan mata wang tempatan untuk mengurangkan sebarang risiko perniagaan.
“Memastikan dasar konsisten dan memberikan masa peralihan yang mencukupi untuk sebarang perubahan besar menjadi satu lagi bidang yang komuniti perniagaan mahu kerajaan tangani,” katanya.