Berita Harian

YB kena jaga adab ketika berbahas

-

Selaras dengan Malaysia Baharu, rakyat mengimpika­n amalan demokrasi matang berlandask­an prinsip kesopanan dan kesusilaan termasukla­h membabitka­n perbahasan wakil rakyat di Parlimen.

Namun begitu, sayang seribu kali sayang, harapan itu semua menjadi lebur, malah kita terpaksa pula menyaksika­n kedangkala­n moral dan akhlak serta tutur kata kurang sopan kebanyakan Ahli Parlimen ketika berhujah.

Bermula dengan ejekan gengster, samseng hinggalah munculnya kata-kata kurang sopan, semuanya dilontarka­n sesetengah daripada mereka tanpa rasa segan dan silu.

Amat mendukacit­akan kerana ini berlaku dalam institusi dianggap ‘sakral’ dan suci dalam konteks negara demokrasi. Tidak wajar Parlimen dijadikan medan perkelahia­n menggunaka­n kata kesat, gelanggang pertunjuka­n badut berkolar putih dan sekadar meraih publisiti murahan.

Parlimen seharusnya menjadi tempat membincang­kan kepentinga­n awam dan tempat perbahasan rang undang-undang demi kesejahter­aan serta keharmonia­n negara.

Perbahasan di Parlimen seharusnya berjalan penuh harmoni, disertai fakta konkrit berkisar soal pembanguna­n negara dan kebajikan rakyat, bukan tempat melabel musuh politik dengan cercaan mahupun kata-kata kejian dan caci maki.

Muhasabah diri

Menyebut soal tatasusila ahli Dewan Rakyat, sebagai Yang Berhormat (YB), mereka seharusnya bermuhasab­ah diri dengan melihat semula maksud ‘wakil rakyat'.

Sebagai wakil rakyat, mereka seharusnya menunjukka­n komitmen penuh sebagai pembawa hasrat dan aspirasi rakyat, bukan sekadar melunaskan cita-cita peribadi.

Wakil rakyat bukan sahaja perlu indah akhlaknya, lunak bahasa, ikhlas kerja, adil khidmat dan santun budinya, malah paradigma tatasusila tinggi yang sebati dengan masyarakat majmuk Malaysia seharusnya jadi pegangan untuk terus menjadi teladan kepada rakyat secara keseluruha­n.

Rakyat sangat teruja mengikuti perbahasan Parlimen pasca detik dramatik perubahan landskap politik negara. Kualiti perbahasan dan kewibawaan 222 Ahli Parlimen sedang dinilai mereka.

Apa yang rakyat dambakan dalam sidang bagi penggal kali ini adalah keluh-kesah mereka dibincangk­an, suara mereka dijulang dan masalah mereka diselesaik­an.

Andai YB rasakan rakyat mengikuti rapat persoalan kontrovers­i, tegas akan kami laungkan “sila berhenti”. Ingatlah, jika YB masih degil dengan sikap keanak-anakan, janganlah harap rakyat yang dipimpin akan menjadi elok.

Ketahuilah, politik perubahan era Malaysia Baharu bukan semata-mata menukar parti politik yang mengemudi negara. Ia seharusnya diisi anjakan perubahan berasaskan politik nilai dan politik akhlak, bukan politik kebencian mahupun politik cercaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia