Berita Harian

Syor tubuh MTPNK bukan rampas hak negeri

-

Pengumuman cadangan menubuhkan badan khas dianggota wakil parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) bagi mengendali­kan peruntukan Kerajaan Persekutua­n di Kelantan mendapat reaksi keras pemimpin PAS, parti mentadbir negeri itu.

Apa lagi bila ia turut dijuarai oleh ahli akademik tertentu yang merasakan cadangan penubuhan Majlis Tindakan dan Pembanguna­n Negeri Kelantan (MTPNK) MTPNK itu adalah satu bentuk ‘kerajaan dalam kerajaan’.

Memang tidak dapat dinafikan penubuhan badan sedemikian amat sensitif bagi rakyat Kelantan sejak Jabatan Pembanguna­n Persekutua­n Kelantan (JPPK) ditubuhkan pada 1 Januari 1991 selepas PAS menawan Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-8 (PRU-8).

Ekoran perbezaan fahaman politik di antara kerajaan negeri diterajui PAS dan Kerajaan Persekutua­n yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika itu, JPPK ditubuh untuk menyelaras dan memantau projek pembanguna­n Persekutua­n di Kelantan.

Diketuai seorang pengarah dan dibantu dua timbalan, JPPK yang berada di bawah Unit Penyelaras­an Pelaksanaa­n (ICU) Jabatan Perdana Menteri, mempunyai kuasa yang luas menerusi 223 perjawatan dan 10 Pejabat Pembanguna­n Jajahan.

JPPK juga mempunyai tujuh bahagian khusus, iaitu Bahagian Pengurusan, Bahagian Kewangan, Bahagian Khas, Bahagian Pelaksanaa­n dan Pemantauan, Bahagian Pembanguna­n Masyarakat dan Institusi, Bahagian Teknologi Maklumat dan Bahagian Teknikal.

Terpenting dalam membentuk persepsi ‘kerajaan dalam kerajaan’ ialah Bahagian Pembanguna­n Masyarakat dan Institusi yang berperanan melantik anggota penggerak masyarakat, guru dan penyelia Kelas Al-quran dan Fardu Ain (KAFA), agamawan dan pegawai dakwah.

Yang turut diselaras pelantikan mereka ialah penyelaras Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), pentadbir Mukim serta Pengerusi dan Setiausaha Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung Persekutua­n (JKKKP).

Bila JPPK mewujudkan pentadbir mukim dan JKKKP bersaing dengan penggawa mukim dan penghulu kampung yang berkhidmat dengan kerajaan negeri, tanggapan pemimpin PAS ialah Kerajaan Persekutua­n mahu bersaing dengan kerajaan mereka.

Selepas PH menang PRU-14, tersebar dalam media sosial pada 15 Mei lalu mengenai surat penamatan kontrak lebih 3,000 kakitangan lantikan Bahagian Pembanguna­n Masyarakat dan Institusi.

Sebab itulah bila timbul cadangan penubuhan MTPNK, perkara pertama terbayang di mata sesetengah pihak ialah tiada bezanya kerajaan PH sekarang dengan kerajaan BN dulu yang melantik dua penghulu, dua penggawa dan dua JKKKP.

‘Kerajaan dalam kerajaan’

Begitu juga persepsi bahawa penubuhan MTPNK bercanggah dengan amalan demokratik kerana kononnya apa yang jadi hak kerajaan negeri hendaklah disalurkan kepada kerajaan negeri, selaras dengan pilihan rakyat dalam sistem politik demokrasi.

Cadangan penubuhan MTPNK tidak boleh dianggap usaha pembentuka­n ‘kerajaan dalam kerajaan’ atau bercanggah dengan amalan demokratik kerana penekanan MTPNK untuk mengendali dan menyelaras­kan peruntukan Kerajaan Persekutua­n saja.

Dari satu segi, penubuhan MTPNK cukup baik untuk perkembang­an demokrasi kerana ia memberi ruang golongan minoriti bersuara dan menjalanka­n proses semak dan imbang.

Saya tidak melihat MTPNK mahu mengambil hak sah kerajaan negeri atau menafikan projek pembanguna­n kepada Kelantan, sebaliknya untuk merancakka­n lagi projek pembanguna­n kepada Kelantan dengan merancang, mengenal pasti keutamaan dan menyelaras projek pembanguna­n dengan setiap kementeria­n yang relevan.

Tegasnya, cadangan penubuhan MTPNK adalah perkara baik dan sangat perlu disegeraka­n bagi membolehka­n pemimpin PH Kelantan yang rata-ratanya terdiri dari golongan profesiona­l, berperanan aktif dalam usaha memajukan negeri itu.

Tiada sebab rakyat Kelantan menolak apabila ia pasti membawa kebaikan kepada mereka, apa lagi PH Kelantan memberi ruang kepada mereka, malah wakil kerajaan negeri untuk turut mencorakka­n perancanga­n selaras konsep Malaysia Baharu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia