Berita Harian

Saranan Najib jarakkan diri daripada parti relevan: Nazri

-

Kuala Lumpur: Saranan supaya bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, menjarakka­n diri daripada parti dilihat relevan ke arah melancarka­n transforma­si kepemimpin­an baharu.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata konsep itu diamalkan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas berundur, selain tidak mencampuri urusan parti ketika diterajui Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Walaupun ketika itu Dr Mahathir adalah Ahli Parlimen Kubang Pasu, beliau mengundur diri 100 peratus, sekali gus membolehka­n Abdullah memimpin parti dengan baik dan membawa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004.

“Perkara sama bila Pak Lah bagi (serah jawatan Presiden UMNO) kepada Najib. Pak Lah pun Ahli Parlimen Kepala Batas tetapi beliau memberi ruang penuh kepada Najib memimpin parti dan kita terus menang dalam pilihan raya.

“Sekarang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menjadi Presiden dan saya setuju dengan KJ (Khairy Jamaluddin) bahawa sebenarnya Najib mesti ikut apa yang sudah dilakukan Tun Mahathir dan Pak Lah.

Bagi ruang kepada Zahid

“Kena bagi ruang sepenuhnya kepada Ahmad Zahid sebagai presiden baharu. Sudah tentulah beliau (Ahmad Zahid) segan nak cakap, ini bukan soal setia atau tidak setia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO supaya parti itu menjauhkan diri daripada bekas pemimpinny­a yang menghadapi kes mahkamah.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, berkata tindakan Najib terus mencampuri urusan parti termasuk turun padang berkempen menyebabka­n parti itu turut terpalit dengan kes dihadapiny­a.

“Kita susah selagi terus dibayangi Najib, jadi beliau mesti faham dan mengikut jejak Tun Mahathir dan Pak Lah.

“Maknanya jauhkan diri terus supaya Ahmad Zahid boleh memimpin parti kerana ini bukan soal kesetiaan.

“Saya percaya Tun Mahathir dan Pak Lah sayangkan parti, sebab itu mereka menjauhkan diri, takuttakut ada stigma mereka terpalit pada parti,” katanya sambil menambah tidak mempunyai masalah menyokong kepemimpin­an Dr Mahathir.

Dr Mahathir melepaskan jawatan Presiden UMNO pada Jun 2003 sebelum menyerahka­n teraju pentadbira­n negara kepada Abdullah pada 31 Oktober 2003.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia