Berita Harian

Syukur diberi peluang sebilik jaga bapa kudung

Nur Adnin berterima kasih TH prihatin, hulur pelbagai bantuan

-

“Saya cakap pada ayah, kita doa banyak-banyak dekat Raudhah. Selepas itu apabila kami pergi jumpa orang Tabung Haji (TH), Alhamdulil­lah mereka bagi kami tinggal sebilik.”

Demikian kata Nur Adnin Abd Razak, 28, yang datang ke Tanah Suci dengan tanggung jawab besar menjaga ayahnya yang kudung kaki kanan selepas terpaksa dipotong akibat kemalangan jalan raya.

Nur Adnin berkata, kemudahan untuk mereka tinggal sebilik adalah pemberian Allah yang amat disyukurin­ya, begitu juga bagi ayahnya Abd Razak Said, 67 dan ibu, Juairiah Abd Wahab, 65, yang sering kurang sihat.

Menurutnya, ketika ditempatka­n di bilik lain ketika dua hari pertama di Madinah, ayahnya berdepan banyak kesukaran, terutama untuk ke tandas kerana teman sebiliknya tidak mampu menguruska­n.

Tak boleh tidur, kaki bengkak

“Ketika duduk di bilik lain, ayah tak boleh tidur dan kakinya pun sudah bengkak. Itu yang saya risau dan sedih,” katanya dengan suara tersekat-sekat menahan tangisan.

Kaki Abd Razak terpaksa dipotong selepas parah dan koma selama sebulan akibat dirempuh bas ketika pulang daripada kerja sebagai pengawal keselamata­n pada 2005.

Justeru, tiga beranak berasal dari Alor Star, Kedah itu berterima kasih kepada TH yang prihatin kerana mengizinka­n mereka tinggal sebilik selepas dua hari di Madinah dan berterusan sehingga ke hotel penginapan di Makkah.

Menurut Nur Adnin, kedatangan beliau bersama-sama ibu dan ayah bagi menunaikan haji kali ini seakan-akan satu perancanga­n Allah yang sudah tertulis sekian lama, tanpa mereka sedari.

“Saya baharu menamatkan pengajian Diploma Pembantu Perubatan dari Institut Latihan Kementeria­n Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Johor Bahru, Jun lalu. Dengan ilmu yang ada, lebih mudah saya menguruska­n ayah,” katanya.

Katanya, sebelum ini dia agak pelik kerana tawaran belajar di ILKKM diterimany­a pada 2015, sedangkan permohonan dibuat sejurus mendapat keputusan peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2007.

Nur Adnin berkata, ketika tawaran itu hadir, beliau sudah memiliki Diploma Kejurutera­an Mekanikal dari Politeknik di Kelantan dan sedang menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Entah kenapa, saya pilih untuk masuk ILKKM dan berhenti belajar di UPM. Kini, baru saya tahu Allah memang takdirkan begitu supaya saya boleh menjaga ayah.

“Saya anak tunggal daripada perkahwina­n ayah dengan emak. Anak ayah dan emak hasil perkahwina­n mereka sebelum ini masing-masing sudah berkahwin dan tinggal dengan keluarga sendiri,” katanya.

Harap ditempatka­n dalam khemah sama

Mengenai persiapan dan harapannya menjelang Hari Wukuf pada Isnin depan, Nur Adnin berkata, beliau amat berharap mereka sekeluarga ditempatka­n dalam khemah yang sama di Arafah dan Mina.

“Saya harap Allah permudahka­n urusan. Semoga kami dapat tinggal dalam khemah sama. Tapi, kalau tak dapat, tak apa.

“Saya dah cakap pada ayah dan mak, kita duduk saja bawah pokok sama-sama,” katanya yang tidak sanggup melihat ayahnya berdepan kesusahan.

Sementara itu, Abd Razak juga berulang kali mengucapka­n terima kasih kepada TH atas pelbagai bantuan dan kemudahan yang diberikan kepadanya.

 ??  ??
 ??  ?? Nur Adnin bersama bapanya, Abdul Razak dan ibu Juairiah menceritak­an perjalanan mereka sekeluarga ke Tanah Suci.
Nur Adnin bersama bapanya, Abdul Razak dan ibu Juairiah menceritak­an perjalanan mereka sekeluarga ke Tanah Suci.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia