Berita Harian

Kanak-kanak mati ditetak bapa kandung

Suspek dakwa dengar suara ghaib beri arahan, didapati positif syabu

- Oleh Nor Azizah Mokhtar, Hasbi Sidek dan Faris Fuad

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mati ditetak di kepala dan tangan dengan parang oleh bapanya di rumah mereka di Flet Puchong Permai di sini, malam kelmarin.

Tragedi menyayatka­n itu berlaku ketika mangsa dikatakan sedang tidur di ruang tamu rumah sebelum suspek yang berusia 35 tahun menetak tiga kali.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata kejadian itu disedari seorang penduduk yang menyangka kanak-kanak itu jatuh dari tingkat empat flet itu sebelum melaporkan­nya pada polis, jam 5.45 petang.

“Selepas membunuh mangsa, suspek dikatakan meletakkan mayat anaknya itu di luar pintu rumah sebelum mengurungk­an diri di dalam.

“Polis yang menjalanka­n siasatan mendapati budak itu sebenarnya adalah mangsa pembunuhan selepas menemui kesan tetakan di kepala dan pergelanga­n tangan kanannya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Peminum tegar air ketum

Mohammad Azlin berkata, suspek mengaku membunuh mangsa selepas mendakwa mendengar suara ghaib menyuruhny­a berbuat demikian.

“Siasatan mendapati suspek adalah peminum tegar air ketum selain saringan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphet­amine (syabu). Suspek sudah ditahan dan kita turut menemui parang yang digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ibu mangsa berusia 24 tahun yang menangis teresak-esak sebaik keluar dari bilik jenazah di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, enggan ditemu bual walaupun beberapa kali cuba didekati wartawan.

Terdahulu, dia dilihat sugul sebelum masuk ke bilik jenazah kira-kira jam 1 tengah hari semalam untuk melihat jenazah anak tunggalnya selepas bedah siasat selesai dijalankan.

 ??  ?? Keadaan mangsa yang ditetak bapanya dalam kejadian di Flet Puchong Permai, Subang Jaya, malam kelmarin.
Keadaan mangsa yang ditetak bapanya dalam kejadian di Flet Puchong Permai, Subang Jaya, malam kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia