Berita Harian

Balak jadi penyelamat ‘hujan’ peluru musuh

Pesara polis imbas detik mencemaska­n diserang hendap ketika operasi jejak komunis di Perak

- Oleh Mohammad Ishak

Sebatang balak yang tumbang menjadi benteng penyelamat enam anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) daripada peluru musuh ketika operasi menjejak komunis di Kampung Lalang, Pengkalan Hulu, Grik, Perak, pada 1980.

Pesara polis, Shaari Abu Bakar, 67, dari Taman Seri Sepakat, di sini, berkata ia berlaku ketika beliau bersama lima rakan daripada Platun 3, Kompeni A PPH ditugaskan mengesan pergerakan komunis di Perak.

Mengimbas kembali detik mencemaska­n itu, beliau berkata, setiba di hutan berkenaan kira-kira jam 6 petang, komunis secara tibatiba melepaskan tembakan dan peluru berterbang­an di atas kepala.

Berikutan itu, katanya, mereka bertindak pantas menyelamat­kan diri dengan berselindu­ng pada sebatang batang balak yang tumbang di tepi sungai.

Beliau berkata, terkejut dengan tembakan bertalu-talu musuh, pasukannya menghubung­i anggota tambahan yang bergegas ke lokasi memberi bantuan.

“Menerusi perhubunga­n menggunaka­n sistem komunikasi tanpa wayar, anggota tambahan bertindak pantas memasuki kawasan pergolakan untuk memberi bantuan.

“Selepas berlaku pertempura­n, kumpulan komunis terbabit melarikan diri dari tempat kejadian.

Temui cebisan pakaian, tompokan darah musuh

“Jika tidak ada balak yang tumbang, kami tiada tempat berlindung dan mungkin menjadi korban serangan komunis,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Shaari berkata, keesokanny­a, anggota platun bergerak menjejak pergerakan komunis dan menemui secebis pakaian termasuk topi dan kesan tompokan darah musuh.

Katanya, pengalaman pahit berdepan komunis di hutan Perak masih segar hingga sekarang kerana ia perjuangan hidup mati mempertaha­nkan tanah air daripada ancaman musuh.

Shaari mengikuti latihan selama tiga bulan di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur, pada 1967 dan sebaik sahaja tamat latihan, beliau ditugaskan dalam PPH di Ulu Kinta, Perak.

Katanya, sepanjang tugasan dengan PPH, beliau menyertai tiga operasi menjejak pergerakan Komunis di Raub, Pahang; Gua Musang, Kelantan dan Grik, Perak.

Dalam tempoh perkhidmat­an yang berakhir pada 1995, beliau menerima Sijil Penghargaa­n daripada Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor.

 ?? [FOTO MOHAMMAD ISHAK /BH] ?? Shaari menunjukka­n sijil penghargaa­n menentang komunis yang diterima ketika ditemui di rumahnya di Jertih, semalam.
[FOTO MOHAMMAD ISHAK /BH] Shaari menunjukka­n sijil penghargaa­n menentang komunis yang diterima ketika ditemui di rumahnya di Jertih, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia