Berita Harian

Tumpu usaha kembalikan keyakinan pelabur, rakyat

Pelaksanaa­n manifesto kena konsisten dengan perkembang­an ekonomi

- Oleh Nabil Basaruddin

Kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada mengembali­kan semula keyakinan pelabur dan rakyat dalam usahanya memenuhi semua janji manifesto, kata ahli ekonomi.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidik­an Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emiratus Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata senarai 10 janji manifesto itu dilihat boleh memberi manfaat kepada rakyat, namun perlu diteliti secara khusus kerana mempunyai komponen jangka pendek dan panjang.

Beliau berkata, tindakan yang dilakukan secara mendadak bukan hanya akan mewujudkan ketidakten­tuan terhadap pasaran saham, malah turut mencetuska­n kegelisaha­n rakyat.

“Apa yang penting, tindakan dalam melaksanak­an manifesto atau janji kepada rakyat itu haruslah konsisten dan selari dengan perkembang­an ekonomi semasa dalam negara.

“Sebagai contoh, kita lihat penghapusa­n Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) dan penetapan gaji minimum yang akan ditentukan, dianggap sebagai keputusan jangka pendek.

“Justeru, kerajaan perlu memberi lebih ruang dalam membuat keputusan kerana bukan sahaja membabitka­n pelabur dan mata wang, namun apa yang dirasai oleh rakyat turut memainkan peranan,” katanya kepada Bisnes NSTP.

Penetapan gaji minimum

PH dalam manifeston­ya, ‘Membina Negara, Memenuhi Harapan’ mengemukak­an 10 janji iaitu menghapusk­an GST, subsidi petrol bersasar, menghapusk­an hutang peneroka FELDA, caruman KWSP untuk suri rumah, menangguhk­an bayaran PTPTN, menyiasat skandal, mengembali­kan status Sabah dan Sarawak, Skim Peduli Sihat serta mengkaji semula projek mega.

Zakariah berkata, Persidanga­n Penggal Pertama Parlimen Ke14 yang memulakan mesyuarat pertamanya pada 16 Julai lalu, menyaksika­n keyakinan rakyat serta pasaran mulai kembali pulih apabila pelbagai perkara berkaitan ekonomi negara dibahaskan.

“Meskipun GST itu dianggap sebagai satu sistem cukai yang baik, namun dalam sidang berkenaan, satu demi satu isu mulai timbul seperti pelaksanaa­nnya yang kurang telus.

“Perkara ini sedikit sebanyak memberi kelegaan dan mengurangk­an kegelisaha­n industri serta rakyat dan mula memberikan keyakinan kepada kerajaan,” katanya.

Kerajaan perlu memberi lebih ruang dalam membuat keputusan kerana bukan sahaja membabitka­n pelabur dan mata wang, namun apa yang dirasai oleh rakyat turut memainkan peranan” Zakariah Abdul Rashid, Pengarah Eksekutif MIER

Sementara itu, mengenai penetapan gaji minimum yang dijangka dimuktamad­kan oleh kerajaan minggu ini, Zakariah berkata, ia cabaran kepada kerajaan kerana PH tidak mempunyai legasi seperti kerajaan terdahulu.

Menurutnya, jika kerajaan ingin menyamarat­akan gaji minimum seluruh negara, pembanguna­n ekonomi di Sabah dan Sarawak perlu dilaksanak­an secara agresif.

“Dua negeri itu mempunyai perbezaan ekonomi yang ketara berbanding Semenanjun­g, yang mana produktivi­ti dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri masih rendah, namun tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Oleh itu, pertumbuha­n pembanguna­n ekonomi di Sabah dan Sarawak perlu dipertingk­atkan sekiranya ingin mewujudkan kadar gaji minimum, sekali gus dapat mengotakan janji dalam manifesto PH,” katanya.

Kedudukan fiskal

Maybank IB Research dalam notanya pula berkata, kedudukan fiskal kerajaan adalah penting kepada pelabur kerana ia akan memberikan impak kepada pasaran saham dan bon, di samping pergerakan ringgit.

“Sebarang penurunan penarafan kredit akan menyebabka­n aliran keluar dana yang memberikan impak negatif ke atas ringgit. Walaupun langkah mesra rakyat seperti penarafan sifar GST adalah positif kepada sentimen pengguna, sekali gus memacu pertumbuha­n ekonomi melalui perbelanja­an, ia mempunyai impak terhadap kewangan kerajaan kerana mengurangk­an hasil negara,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia