Berita Harian

Seorang maut, 14 cedera nahas bas

Penumpang bas, pemandu lori, kelindan parah dalam insiden

- Oleh Badrul Kamal Zakaria dan Mohamed Farid Noh cnews@nstp.com.my

Seorang lelaki maut dan 14 lagi cedera, termasuk tiga parah, apabila sebuah bas hentihenti bertembung dengan lori di Kampung Temiang, Jalan Salleh, pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 8.45 pagi itu, pemandu bas terbabit, Nordin Kosnon, 53, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superinten­dan Idris Rajab, berkata perlanggar­an itu turut menyebabka­n seorang penumpang bas berkenaan, pemandu lori dan kelindanny­a parah.

Bagaimanap­un, 11 penumpang lain di dalam bas terbabit dilaporkan hanya cedera ringan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan dari Muar ke arah Pagoh sebelum bertembung dengan sebuah bas dari arah bertentang­an yang dipercayai tiba-tiba memasuki laluannya.

Katanya, kawasan kemalangan adalah laluan berselekoh serta ada jalan tengah bertanda, dan ketika kejadian, trafik tidak sibuk dengan keadaan cuaca baik.

“Susulan kejadian itu, pemandu bas terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF akibat kecederaan parah.

“Pemandu lori dikenali sebagai Tan Boon Guan, 43, pula dirawat di Zon Merah Unit Kecemasan hospital sama,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Idris berkata, semua kelindan lori serta 12 penumpang bas berkenaan turut menerima rawatan di HPSF, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Kereta rempuh pokok Batu Pahat,

Sementara itu di dua sahabat maut, manakala dua lagi parah apabila kereta dinaiki mereka merempuh pokok di Kilometer 135 Jalan Batu Pahat-muar, dekat Peserai di sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kirakira jam 9 malam, pemandu kereta Toyota Vios terbabit, Mohd Fazly Reza Mohamed, 30, dan penumpang di bahagian hadapan, Muhamad Izhuan Kahar, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua lagi penumpang di bahagian belakang, Muhamad Basri Hamadan, 24, dan Nor Hasyim Abu Bakar, 34, dilaporkan parah serta dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini, untuk rawatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superinten­dan KS Mender Singh, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika empat sahabat terbabit dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Muar.

“Setiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di bahu kiri jalan berkenaan.

“Akibat rempuhan kuat itu, pemandu kereta dan penumpang hadapan maut serta-merta di lokasi kejadian, manakala dua penumpang belakang yang parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail.

“Siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa adalah sahabat dan bekerja di sebuah cawangan restoran Jepun,” katanya ketika dihubungi.

Mender berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Fauzi Mohd Nor, berkata sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Timah Sari bersama lapan anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

 ?? [FOTO IHSAN JABATAN BOMBA] ?? Mangsa nahas yang cedera menerima rawatan selepas terbabit kemalanga di Batu 3 1/2, Kampung Temiang, Jalan Salleh, Muar, semalam.
[FOTO IHSAN JABATAN BOMBA] Mangsa nahas yang cedera menerima rawatan selepas terbabit kemalanga di Batu 3 1/2, Kampung Temiang, Jalan Salleh, Muar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia