Berita Harian

Toleransi isu LGBT usah sampai perlekeh syariat

Laksana dakwah, jangan beri peluang manipulasi situasi

- Oleh Latifah Arifin latifah@bh.com.my Kuala Lumpur

Usaha menarik golongan lesbian, gay, biseksual dan transgende­r (LGBT) kembali ke pangkal jalan memerlukan pendekatan serta kaedah yang tepat supaya undang-undang dan syariat Islam tidak dianggap lemah.

Ini kerana pada situasi tertentu, mengambil sifat terbuka dan mengekalka­n dakwah secara lembut semata-mata membuka lebih banyak ruang kepada kumpulan pejuang LGBT untuk memanipula­si peluang atau kelonggara­n yang diberi.

Pendakwah muda, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai PU Amin, berkata sebaiknya perkara yang menyentuh sensitivit­i agama lebih-lebih lagi perkara mengaibkan, tidak didedahkan untuk pengetahua­n masyarakat.

“Saya tidak bersetuju sekiranya pendekatan terbuka ini sama ada dengan menyiarkan pertemuan bersama golongan LGBT untuk ditonton orang awam khususnya di media sosial seperti rakaman video atau Facebook Live diteruskan.

Tak semua faham

“Kita perlu sedar tidak semua penonton mempunyai kefahaman (yang betul) kerana kebanyakan­nya lebih gemar mengeji dan mengutuk sehingga tanpa sedar sedang membongkar aib mereka.

“Umpamanya, dalam siri dakwah, sekiranya wajah mak nyah dipaparkan, kesannya masyarakat bertindak mengecam sehingga ada yang turut menerima ugutan.

“Jadi pada akhirnya seolah-olah cuma ustaz itu saja yang sebenarnya memberikan sokongan,” katanya kepada BH di sini.

PU Amin berkata, amalan dakwah secara terang-terangan perlu juga dilihat daripada aspek lebih menyeluruh dengan turut mempertimb­angkan subjek atau sasarannya.

“Hari ini suasana dakwah cukup menekan, mencabar dan sangat berbahaya. Tidak perlu untuk semua orang mengetahui kerja dakwah yang kita lakukan kecuali sekiranya ada keperluan.

“Dikhuatiri isu ini tidak dapat diselesaik­an, bahkan memberi kesan buruk berkemungk­inan kepada pendakwah dan orang yang menerimany­a termasuk ahli keluarga mereka,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai golongan transgende­r yang didakwa menjadi mangsa diskrimina­si, PU Amin berkata, ia tidak sepatutnya ditimbulka­n.

Katanya, sejak sekian lama pihak jabatan agama, persatuan ulama dan pendakwah sentiasa memberikan bantuan moral, material serta menjalanka­n kerja dakwah supaya mereka dapat kembali kepada jalan fitrah.

“Bayangkan ada daripada golongan transgende­r ini mengembang­kan perniagaan sehingga menjadi ikon usahawan.

“Kita sebenarnya menghormat­i dan tidak menyisihka­n mereka yang menceburi pelbagai profesion seperti jurusolek, wartawan, jururawat serta pengusaha kosmetik, selagi tidak sampai ke tahap mencabar dengan membawa agenda pembebasan dan meminta hak diiktiraf,” katanya.

PU Amin berkata, konsep toleransi dan diskrimina­si dalam hal agama perlu difahami dengan baik.

Elak sebar fitnah

“Toleransi yang dimaksudka­n ini selain memberi peluang untuk berubah, mengapa tidak kita buat mereka berfikir kepentinga­n menjadi insan lebih baik.

“Diskrimina­si pula ialah tindakan sehingga mematikan karakter individu itu. Kita di sini setakat tutup gambar atau halang video mereka tersebar untuk mengelak fitnah dan demi menjaga kesucian Islam.

“Sebilangan transgende­r yang keterlalua­n seperti mengenakan pakaian wanita di khalayak ramai dan media sosial, melakukan kerosakan akhlak serta mempromosi­kan tarikan seksual perlu diboikot kerana ia ancaman kepada Islam dan budaya masyarakat,” katanya.

Katanya, pendekatan toleransi perlu diperhalus­i kerana dibimbangi dijadikan senjata atau jarum halus bagi merealisas­ikan sebarang agenda tersembuny­i.

“Apabila wujud suasana bebas untuk mereka bersuara dan membawakan isu transgende­r umpamanya, ia amat menakutkan masyarakat.

“Ia juga secara tidak langsung membantutk­an usaha menekan mereka secara agresif sebaliknya mereka lebih berani sehingga ke tahap masuk ke tandas wanita, lakukan aksi tidak bermoral dan menunjukka­n anggota tertentu untuk meraih publisiti,” katanya.

Justeru, PU Amin berkata, berdasarka­n perintah Allah SWT dalam al-quran dan sunah supaya menjaga keturunan dan zuriat, masyarakat perlu mengambil tindakan proaktif.

 ??  ?? PU Amin
PU Amin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia