Berita Harian

Shukor tekad pacu FELDA ke final

- Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Kapten pasukan FELDA United, Mohd Shukor Adan bertekad membantu pasukannya layak ke final Piala Malaysia musim ini.

Walaupun masih terlalu awal untuk berbicara mengenai peluang melangkah sejauh itu dengan hanya dua perlawanan setakat ini, ia diharap menjadi motivasi kepada dirinya dan rakan sepasukan untuk merealisas­ikan impian berkenaan.

Apapun, dia mengakui saingan masih terbuka buat semua pasukan termasuk PKNS, Melaka United dan PDRM untuk mengisi dua slot ke suku akhir.

Justeru, katanya, hanya persefaham­an jitu mampu meletakkan pasukannya mengisi salah satu slot terbabit, tambahan selepas FELDA memperoleh suntikan semangat menerusi kemenangan besar 5-0 mengatasi PDRM di Stadium Hang Jebat, Ahad lalu.

“Kemenangan selesa itu memberi makna amat besar kepada kami untuk terus bertindak cemerlang sepanjang baki aksi kumpulan B.”

Sehubungan itu, gabungan keserasian ini diharap berterusan untuk melepasi halangan peringkat kumpulan terlebih dulu, sebelum berkira-kira mara ke peringkat seterusnya selepas ini,” katanya.

Yakin taktik Sathia

Anak jati Melaka yang pernah mewakili skuad kebangsaan, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Negeri Sembilan itu turut meledak gol pertamanya di pentas Piala Malaysia musim ini ketika berdepan The Cops turut yakin dengan strategi ketua jurulatih B Sathianath­an untuk memenuhi misi berkenaan.

Shukor berkata, pengalaman luas dan idea jurulatih itu memberi impak berkesan terhadap taktikal pasukan. justeru apa yang diharapkan dia dan rakan sepasukan akan terus konsisten untuk menterjema­h corak permainan yang diterapkan.

“Fokus kini adalah pertemuan berdepan PKNS pada aksi ketiga liga yang dilihat antara perlawanan paling sukar buat The Fighters.

“Saya yakin kami mampu memberi tentangan sambil berazam meraih tiga mata penuh walaupun beraksi di gelanggang lawan Ahad ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia