Berita Harian

Pembakaran terbuka punca hutan terbakar

-

Bintangor: Hanya disebabkan aktiviti pembakaran terbuka untuk membersihk­an kebun, anggota bomba terpaksa berhempas pulas memadam kebakaran hutan dan belukar seluas 75 hektar di Teluk Bunut, di sini kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, berkata dua jentera bomba bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus dimaklumka­n mengenai insiden kebakaran itu jam 4.27 petang kelmarin.

“Lokasi kejadian terletak kira-kira 12 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor. Kebakaran berjaya dikawal dari merebak ke kawasan lain, namun pemantauan masih diteruskan sebagai langkah berjagajag­a, lebih-lebih lagi ia membabitka­n kawasan tanah gambut,” katanya.

Sementara itu, kawasan hutan seluas hampir 15 hektar di Jalan Semop, Pulau Bruit turut dila- porkan terbakar sejak tiga hari lalu.

Kawasan tanah gambut

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis, Jerry Jelani, berkata seramai 14 anggota bomba, termasuk dari Sibu terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran itu yang turut membabitka­n kawasan tanah gambut.

“Keadaan setakat ini terkawal, namun pegawai dan anggota masih ditempatka­n di lokasi kejadian bagi operasi pemantauan, selain mengelak risiko kebakaran berulang susulan musim panas serta kering yang sedang melanda Sarawak ketika ini,” katanya.

Justeru, beliau mengingatk­an orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama bagi aktiviti pertanian pada musim panas dan kering ketika ini bagi mengelak risiko kebakaran besar yang boleh menyebabka­n lebih banyak kemusnahan atau kemalangan jiwa.

“Kita akui aktiviti ini memang sukar dibendung kerana mereka bercucuk tanam, namun kita menasihati agar ia dikawal supaya tidak menimbulka­n masalah dan merebak menjadi kebakaran yang lebih besar,” katanya.

 ?? [ FOTO KHALID LATIP/BH ] ?? Anggota bomba memadam kebakaran belukar seluas 75 hektar di Teluk Bunut, Bintangor.
[ FOTO KHALID LATIP/BH ] Anggota bomba memadam kebakaran belukar seluas 75 hektar di Teluk Bunut, Bintangor.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia