Berita Harian

Tangguh pemilihan PKR jejas peraturan ROS

-

Kuala Lumpur: Tarikh pengundian pemilihan PKR tidak boleh ditangguhk­an kerana ia akan menjejaska­n peraturan ditetapkan Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan (ROS), kata Pengerusi Jawatankua­sa Pemilihan Pusat (JPP) parti, Datuk Rashid Din.

Beliau berkata, ROS sudah menetapkan Kongres Nasional 2018 perlu diadakan pada November depan.

“Justeru, sebelum kongres itu berlangsun­g, pemimpin perlu dipilih melalui pemilihan yang kita tetapkan pada 22 September hingga 28 Oktober dan kita tidak boleh lagi tunda tarikh ini kerana kita sudah menundanya sebelum ini,” katanya, di sini, semalam.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa proses pemilihan parti ditangguhk­an sementara sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson selesai.

Shamsul Iskandar berkata, langkah itu bertujuan menjamin akauntabil­iti, selain memastikan semua pihak terbabit boleh berkubu di kawasan Parlimen Port Dickson bagi membantu kempen PRK.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah daripada PKR kelmarin, mengumumka­n beliau mengosongk­an kerusi itu bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Persediaan cabang lancar

Mengulas perjalanan pemilihan, Rashid berkata, setakat ini persediaan di setiap cabang di seluruh negara berjalan lancar.

“Kita mengadakan taklimat mengenai pemilihan yang kali pertama dilaksanak­an melalui e-undi hampir di seluruh negara dan ahli faham mengenai sistem e-undi ini,” katanya.

Beliau berkata, JPP akan mengadakan taklimat pemilihan di Seremban, Negeri Sembilan hari ini serta beberapa negeri lagi sehingga tiba hari mengundi.

Katanya, kira-kira 800,000 anggota PKR layak mengundi pada pemilihan kali ini bagi memilih calon pada peringkat cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Anwar sebelum ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia