Berita Harian

ANWAR BERI JAMINAN WAN AZIZAH AKAN LETAK JAWATAN TPM

Anwar jamin beri laluan kepada Dr M terajui negara hingga sampai giliran

- Johor Bahru

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

Menurut laporan BERNAMA, Ketua Umum PKR itu berkata sekarang belum masanya Dr Wan Azizah meletakkan jawatannya dalam Kabinet.

“Kenapa Dr Wan Azizah tidak letak jawatan? Kalau Dr Wan Azizah letak jawatan, nanti hilanglah jawatan Timbalan Perdana Menteri dari PKR.

Beri laluan kepada Dr M

“(Dan) saya juga sudah beritahu dengan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad, kalau saya menang (kerusi Parlimen Port Dickson), saya tidak mahu masuk kerajaan sekarang, saya nak bagi laluan kepada Dr Mahathir untuk menggalas tanggungja­wab dia sehingga giliran saya.

“Jadi sabarlah, saya dilantik, Dr Wan Azizah akan letak ( jawatan TPM). Bila? Bila giliran saya jadi PM. Tak payah orang sibuk dari awal, suruh dia (Dr Wan Azizah) letak ( jawatan). Ini yang berlaku dalam negara tapi sabarlah. Orang bangkitkan (tentang perkara ini), saya jelaskan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap di hadapan kirakira 500 ahli PKR dalam program Bicara Maal Hijrah bertajuk “Hijrah ke Arah Malaysia Baharu” di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di sini, semalam.

Semalam, sebuah pertubuhan veteran tentera dilaporkan memberi amaran kepada Anwar agar tidak mewujudkan dinasti keluarga di Parlimen, sebaliknya pemimpin PKR itu seharusnya meminta isterinya, Dr Wan Azizah atau anak perempuann­ya, Nurul Izzah mengosongk­an kerusi Parlimen mereka.

Persatuan Patriot Nasional (PATRIOT) dilaporkan sebagai berkata keluarga itu berkemungk­inan dituduh nepotisme jika Anwar berjaya ke Parlimen.

Anwar, 71, yang bakal memegang jawatan Presiden PKR secara rasmi November depan, diumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson setelah penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan Rabu lalu.

Sementara itu, Anwar turut mengakui letih untuk menjawab soalan mengenai perhubunga­nnya dengan Dr Mahathir.

“Ya, satu dunia tahu saya musuh dia. Satu dunia tahu memang kita geng kuat (ketika da- lam kerajaan dahulu). Bila bergaduh paling sengit, perang habis-habisan, sekarang kita berdamai. Patut semua sokong.

“Saya dan Dr Mahathir berdamai supaya apa yang berlaku dulu akan dihentikan. Kita rasakan dengan gandingan kekuatan baru ini, kita boleh tumbangkan Kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Anwar, Dr M sudah lama berdamai

Anwar juga berkata pemilihan parti pada November depan penting terutama dalam memastikan idealisme perjuangan parti terus dipegang ahlinya, selain memastikan mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan dan setia dengan perjuangan.

“Sebab itu, pemilihan parti ini penting. Jangan saya (sudah) berdamai dengan Dr Mahathir (tetapi) ada pula bunyi, suara sumbang dalam parti. Orang hormat parti kita sebab parti kita terkuat dan terbesar. Jika beri pendapat boleh, tapi kena ikut ruang betul,” katanya.

Di Ayer Keroh, Anwar menyelar pihak yang mempertika­ikan keputusann­ya bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

“Saya (sudah maklum) dan PM (Perdana Menteri) setuju (bertanding di PRK Port Dickson), sekarang (kami) berkawan baik, sebab kami saling bermaafan untuk majukan negara, kita fikir soal rakyat,” katanya berucap pada Majlis Agenda Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Antarabang­sa Melaka (MITC) di sini, malam kelmarin.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, menyuaraka­n rasa kecewa dengan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana mengetepik­an mereka dalam perbincang­an berhubung keputusan mengosongk­an kerusi Parlimen Port Dickson.

Di Petaling Jaya, Zuraida menganggap isu membabitka­n pengosonga­n kerusi Parlimen Port Dickson sudah terjawab dan mahu menumpukan usaha membantu kerusi itu kekal milik parti.

Katanya, selaku seorang yang setia dengan parti, beliau mahu terus berjuang.

“Saya seorang yang setia dengan parti, jadi saya sudah ‘move on’, saya tidak mahu lagi melihat ke belakang. Apa yang berlaku, saya harap tidak berulang. Pendirian saya kekal sama, saya seorang yang profesiona­l dan semua perkara perlu mengikut proses,” katanya.

Di Bukit Mertajam, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun keputusan mengadakan PRK di Port Dickson sudah muktamad, dakwaan beberapa pemimpin berhubung wujud kumpulan tertentu membuat keputusan itu di peringkat atasan parti perlu diambil serius.

“Perkara itu boleh dibincangk­an secara muafakat dalam parti supaya tidak terlepas pandang pada masa depan,” katanya katanya selepas berucap pada Majlis Semarak Merdeka di SP Arena, Seberang Jaya, malam kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia