Berita Harian

BERSATU PD tak mahu Rafizi, Abdullah Sani turun kempen

-

Port Dickson: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Port Dickson, memberi amaran kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, supaya tidak turun berkempen di kawasan itu.

Penyelaras PPBM bahagian itu, Ramli Awang, mendakwa pihaknya tidak dapat menjamin sokongan lebih 2,000 ahli parti di kawasan itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika kedua-dua pemimpin PKR terbabit berdegil.

“Kami mengalu-alukan Ketua Umum PKR (Anwar) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tidak lama lagi, namun Rafizi dan Abdullah Sani tidak perlu datang berkempen di sini.

Tuduhan melampau

“Kami tiada masalah dengan PKR tetapi amat terkesan dengan dua individu ini yang kerap membuat tuduhan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin mahu menjatuhka­n Anwar secara tidak bermaruah.

“Oleh itu, kehadiran kedua-dua mereka hanya akan memburukka­n keadaan kerana sebahagian ahli PPBM sudah terguris hati dengan tuduhan terhadap pemimpin kami selama ini,” katanya di sini, semalam.

Pengosonga­n kerusi terbabit, diumumkan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di Kuala Lumpur, pada Rabu bagi membolehka­n Pakatan Harapan (PH) mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Jamin bantu kempen PKR

Mengulas lanjut, Ramli bagaimanap­un memberi jaminan, pihaknya akan membantu kempen PKR untuk memastikan kemenangan Anwar.

Sementara itu di Shah Alam, Abdullah Sani membidas sikap pemimpin BERSATU yang cuba menonjolka­n bahawa parti itu paling berkuasa dalam PH.

Beliau berkata, tindakan Ramli yang melarangny­a berkempen pada PRK Parlimen Port Dickson adalah tidak masuk akal, sekali gus menggambar­kan BERSATU mahu menjadi ketua kepada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Siapa pemimpin BERSATU hendak halang (berkempen di Port Dickson)? Saya minta BERSATU sedarlah diri sikit. Parti baru setahun jagung sudah mahu menunjukka­n sikap monopoli dalam PH.

“Parti yang bertanding di Port Dickson ialah PKR. Kenapa pula saya tidak boleh berkempen? Ingin ditegaskan saya akan turun ke Port Dickson dan saya tidak takut dengan ugutan daripada BERSATU,” katanya kepada NSTP di sini, semalam.

Abdullah Sani yang juga Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata, asas kepada PH ialah PKR serta mengingatk­an pemimpin BERSATU supaya menghormat­i perkara itu.

“Hormatilah semangat serta asas perjuangan PH dan jangan ada mana-mana parti cuba menunjukka­n kekuasaan mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia