Berita Harian

Anwar tak amal nepotisme: AMANAH

-

Kuala Lumpur: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyelar dakwaan segelintir pihak kononnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengamalka­n nepotisme jika kembali ke Parlimen.

Setiausaha Agong AMANAH, Mohd Anuar Tahir, berkata rakyat sudah memilih Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah sebagai pemimpin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukannya lantikan mana-mana pihak berkepenti­ngan.

“Siapa anda yang ingin menghakimi keputusan rakyat? Jika Anwar akan mengamalka­n nepotisme, sudah pasti Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah tidak memenangi kerusi masing-masing pada PRU-14 lalu.

Individu tak sukai Anwar

“Tidak sepatutnya timbul isu nepotisme ini, malah saya percaya ia dibangkitk­an individu yang tidak menyukai Anwar,” katanya pada sidang media, di Wisma Amanah Negara, semalam.

Beliau berkata, pembabitan ahli keluarga dalam sistem politik negara sudah berlaku sejak dulu, namun tidak pernah dipersoalk­an.

“Ini negara demokrasi, ada keluarga dalam Malaysia terbabit politik seperti ayah dan anak. Perkara ini ada di manamana, bukan Anwar saja.

“Jika rakyat fikir dia ada kebolehan, rakyat akan pilih, jadi tiada isu nepotisme,” katanya.

Semalam, aktivis Ambiga Sreenevasa­n memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) supaya berhati-hati dengan amalan nepotisme melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang diadakan semata-mata bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Sementara itu, Mohd Anuar mengalu-galukan sokongan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang ingin berkempen untuk Anwar pada PRK Port Dickson.

“Dalam negara demokrasi ini, kita bebas memberikan pendapat. Jangan ada sesiapa dianiaya kerana kenyataann­ya (Nazri).

“Nazri berhak buat kenyataan sebab Anwar adalah senior beliau di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Jadi, pandangan itu hak dia,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandang­nya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah daripada PKR meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia