Berita Harian

Buat keputusan selepas mesyuarat

-

Kuala Lumpur: UMNO akan memutuskan sama ada meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson menerusi mesyuarat biro politik parti pada 24 September ini.

Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, berkata UMNO mengambil maklum berhubung tindakan mengosongk­an kerusi Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding mewakili PKR.

“UMNO belum ada keputusan atau pendirian sama ada akan meletakkan calon di PRK berkenaan, hingga biro politik bersidang pada 24 September depan. Dijangkaka­n, BN juga akan mengadakan mesyuarat selepas itu.

“Pendirian rasmi UMNO hanya akan dikeluarka­n ibu pejabat parti atau Presiden pada masa difikirkan sesuai,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Parlimen Port Dickson kosong susulan penyandang­nya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengumumka­n pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR, Rabu lalu, untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi itu sebagai ‘langkah pertama’ mengangkat­nya menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Kali terakhir Anwar, 71, bertanding ialah pada PRU-13 di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksika­n beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (BEBAS) dengan majoriti 11,721 undi.

Pembebasan serta-merta

Kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutua­n mengekalka­n hukuman penjara lima tahun selepas menolak rayuannya daripada hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.

Bagaimanap­un, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampuna­n penuh Yang di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH menjadi kerajaan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, sebarang kenyataan atau pendirian ahli dan pemimpin UMNO berhubung perkembang­an PRK Port Dickson dianggap sebagai pendapat peribadi masing-masing.

“Mereka berhak dan tidak dihalang untuk berbuat demikian,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia