Berita Harian

Suami isteri direman enam hari

-

Sungai Petani: Sepasang suami isteri disyaki terbabit dalam kejadian samun di dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya serta Taman Ria, di sini, Selasa lalu, direman enam hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarka­n Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpula­n dengan senjata.

Terdahulu, suspek lelaki berusia 21 tahun yang kudung kaki kanan dan berasal dari Nibong Tebal, tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan berpakaian lokap sebelum isterinya berusia 30-an tiba pada jam 10 pagi.

Kedua-dua suspek diwakili oleh peguam, Shanmugam Ganesan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang daripada dua lelaki disyaki terbabit dalam kejadian samun di dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya serta Taman Ria, ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, kelmarin.

Dirakam kamera litar

Perbuatan dua lelaki berkenaan dirakam kamera litar tertutup sebelum tular dalam media sosial.

Polis juga sudah mengenal pasti suspek lelaki kedua terbabit dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalath­rash Wahid, berkata suspek terbabit yang dikenali sebagai Muhammad Asmuhairyl Abas, 20, diminta tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya percaya lelaki itu masih berada di kawasan Sungai Petani, dan polis akan mengesan serta menahan suspek dalam tempoh terdekat jika enggan menyerah diri.

“Kita juga percaya barangan samun terbabit berada bersamanya,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia