Berita Harian

Wanita maut, dua cedera mangsa amuk

-

Semporna: Seorang wanita ditemui mati dipercayai dikelar anak lelaki sepupunya dalam kejadian amuk di sebuah rumah di Kampung Sinallang Look, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Bunga Hailah Samaullah, 59, ditemui mati di hadapan pintu di ruang tamu rumah dengan kesan kelar pada leher dan luka pada tangan kiri.

Yang turut cedera dalam kejadian itu, ialah suami mangsa, Abdol Lawas Mosin, 60, serta seorang wanita berumur 26 tahun dikenali Siti Madinah Moden yang juga sepupu suspek.

Difahamkan, suspek disyaki sakit mental dan pernah dirawat di Hospital Mesra di Bukit Padang, Kota Kinabalu, bulan lalu.

Suspek berjaya ditangkap

Ketua Polis Daerah Semporna, Superinten­dan Peter Anak Umbuas, berkata suspek mengelar leher mangsa menggunaka­n parang sebelum turun dari rumah dan menetak dua lagi mangsa lalu melarikan diri.

“Suspek berjaya ditangkap di kawasan bakau, kira-kira 200 meter di belakang tempat kejadian. Suspek yang berumur 20 tahun cedera akibat bergelut dengan mangsa dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan.

“Kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Semporna untuk diberikan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Peter berkata, polis masih menjalanka­n siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia