Berita Harian

JDT, TRW tiada pilihan lagi

Perlu buru kemenangan untuk isi slot terakhir ke suku akhir

- Oleh Aziman Rosdi

Enam pasukan sudah mengesahka­n tempat ke suku akhir Piala Malaysia dan kini hanya menunggu wakil daripada Kumpulan C untuk mengisi dua slot lapan terbaik.

Wakil Kumpulan C - MIFA, Kedah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan - perlu menentukan nasib pada aksi terakhir peringkat kumpulan, esok.

Empat pasukan itu masih mempunyai peluang untuk melangkah ke suku akhir dengan MIFA dan Kedah tampak memiliki sedikit kelebihan kerana hanya memerlukan keputusan seri apabila berdepan lawan masing-masing, JDT dan Kelantan.

Tekanan dilihat lebih terarah kepada juara bertahan, JDT dan Kelantan yang hanya ada ‘satu jalan’ saja buat mereka iaitu wajib menewaskan lawan masing-masing.

Persembaha­n tidak konsisten JDT dan ditambah pula dengan rekod baik MIFA yang hanya tewas sekali sepanjang saingan menimbulka­n persoalan mampukah skuad Harimau Selatan menyelamat­kan reputasi mereka selaku juara bertahan dan juara lima kali berturut-turut Liga Super.

JDT bakal bertandang ke gelanggang lawan dengan Stadium Shah Alam bakal menjadi saksi sama ada mereka akan mara atau MIFA yang mencipta sejarah melangkah ke suku akhir buat kali pertama.

Tak mustahil

Kemampuan Kelantan yang jelas bergelut sepanjang musim ini turut menjadi tanda tanya adakah mereka boleh menyekat kebangkita­n Kedah di bawah kendalian Azzmi Aziz dengan The Red Warriors (TRW) memerlukan kemenangan sekurangku­rangnya dua gol tanpa balas.

Namun, pada masa yang sama anak buah Yusri Che Lah juga perlu mengharapk­an pertemuan MIFA dan JDT berkesudah­an seri atau skuad Harimau Selatan tewas untuk memastikan slot ke suku akhir sah menjadi milik mereka.

Bagi bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, beliau melihat JDT sebagai pilihan sambil menyifatka­n Kelantan dan Kedah memiliki peluang seimbang.

“Tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku, sedangkan MIFA boleh tewaskan JDT di gelanggang lawan dan tak mustahil JDT juga boleh tundukkan mereka di sini (Shah Alam).

“Saya fikir strategi antara dua jurulatih (Benjamin Mora dan K Devan) menjadi perkara paling penting. Antara Kelantan dan Kedah pula sukar untuk diramalkan.

“Kedua-duanya tidak menunjukka­n prestasi konsisten. Cuma saya boleh katakan satu pertemuan antara pasukan dibarisi pemain berpengala­man (Kedah) dan pemain muda (Kelantan), pada saya peluang mereka 50-50,” katanya.

Bagi pasukan yang sudah layak termasuk Terengganu dan Perak dari Kumpulan A, FELDA United dan PKNS (Kumpulan B), perlawanan hari ini menjadi penentu siapa yang akan muncul juara kumpulan dengan juara dan naib juara Kumpulan D sudah sah milik Sabah dan Pahang.

 ?? [ FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM ] ?? Fernando Marquez (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika bertemu Kedah pada perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia 2018 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru.
[ FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM ] Fernando Marquez (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika bertemu Kedah pada perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia 2018 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia