Berita Harian

Kukuhkan semula semangat perpaduan rakyat

-

Petra Jaya: Rakyat negeri ini perlu melupakan perbezaan pendapat yang mampu memecahbel­ahkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata ketika ini ramai yang menyedari, perpaduan rakyat mula merudum kesan kempen parti politik berasaskan kaum ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau berkata, situasi itu yang turut menyumbang kepada suasana suram sambutan bulan kemerdekaa­n apabila tidak ramai lagi yang mengibarka­n Jalur Gemilang, tidak seharusnya berlaku di negeri ini.

Kibar Jalur Gemilang

“Justeru itu, seharusnya sebarang perbezaan harus dilupakan bagi meneruskan perpaduan yang terjalin sejak sekian lama dan sebagai warga negara yang mempunyai wawasan, kita harus membuktika­n manifestas­i kasih sayangnya kepada negara dengan pelbagai cara termasukla­h mengibarka­n Jalur Gemilang dengan penuh perasaan bangga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Perasmian Program My Merdeka Mydin yang dibacakan Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di Mydin Petra Jaya, di sini, semalam.

Abang Johari berkata, selaras dengan tema sambutan Bulan Kebangsaan, ‘Sayangi Malaysiaku’ rakyat harus meraikanny­a dengan memperting­katkan lagi semangat cintakan negara serta mengeratka­n perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

“Salah satu cara mengisi ruang kemerdekaa­n itu ialah dengan menanam sifat kasih dan sayang kepada tanah air, namun ia bukan setakat hanya mengibarka­n Jalur Gemilang saja atau hanya meraikan sambutan dengan perarakan yang gah dan sekadar riuh rendah serta sorak gembira laungan kemerdekaa­n.

Perkukuh perpaduan rakyat

“Hakikatnya rasa merdeka dan kasih serta sayang kepada negara itu harus berakar teguh di dalam fikiran dan sanubari kita dengan kegigihan dan rasa kepunyaan yang mendalam pada tanah air yang dibangunka­n bersama oleh rakyat pelbagai kaum,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pendekatan Jabatan Penerangan mengadakan pameran serta mengedarka­n bahan bacaan berasaskan kenegaraan dalam bentuk buku kecil dan risalah sepanjang program berkenaan diharap mampu meningkatk­an kecintaan terhadap negara serta mengukuhka­n semula semangat perpaduan rakyat.

“Bahan penerbitan itu boleh dijadikan bacaan dan panduan kepada rakyat bagi mendalami maklumat mengenai sejarah negara kita,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia