Kes pembunuhan masih misteri
4 individu disyaki kini dibebas, tiada penahanan terbaru
Kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan masih menjadi tanda tanya apabila empat individu yang ditahan polis sejak dua minggu lalu, sudah dilepaskan.
Setakat ini, tiada penahanan terbaru dan tiada pendakwaan dilakukan polis berhubung kes berkenaan.
Bagaimanapun, proses siasatan terhadap kes itu masih berjalan.
Selain itu, timbul beberapa persoalan mengenai lokasi kejadian yang didakwa sudah dibersihkan.
Bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik PDRM Bukit Aman, Amidon Anan, ketika diminta mengulas kejadian itu berkata, siasatan tetap boleh dijalankan pada bila-bila masa berikutan prosedur awal sudah dijalankan.
“Agensi yang terbabit dalam kes berkenaan sudah memproses tempat kejadian. Ia termasuk merakam gambar lokasi, mangsa yang terbabit dan beberapa sampel yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Proses siasatan boleh diteruskan
Amidon yang berpengalaman lebih 20 tahun bersama Bahagian Forensik PDRM berkata, berdasarkan pengumpulan bukti pada hari kejadian, proses siasatan boleh diteruskan.
“Tiada isu mengenai pembersihan kawasan tempat kejadian. Pasukan forensik tetap menjalankan siasatan walaupun tempat kejadian sudah dibersihkan.
“Pasukan forensik masih boleh mengumpul barang bukti dan sampel di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, apa yang paling penting adalah ‘kutipan awal’ bukti dan sampel di lokasi kejadian.
“Berdasarkan pengalaman, bukti yang kukuh dalam kes pembunuhan adalah bukti biologi seperti darah, air liur dan air mani.
“Polis ada kepakaran dalam menjalankan siasatan. Saya percaya jika polis mempunyai bukti yang kukuh, pendakwaan akan dibuat terhadap individu terbabit,” katanya.
Sebelum ini, polis membebaskan empat individu yang ditahan reman selepas tamat tempoh tahanan mereka sejak dua minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah SAC Fadzil Ahmat sebelum ini berkata kes kematian Nazrin diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh selepas laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan wujud kesan petrol di lokasi kejadian, selain berdasarkan hasil bedah siasat.
Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Mutiara Homes di sini, pada jam 12.20 tengah hari, 14 Jun lalu.
Terdahulu, seorang individu yang direman mempersoalkan tindakan JBPM yang mendakwa mereka menceroboh bilik yang didiami Nazrin ketika kejadian.
Dakwanya, pihak bomba membenarkan mereka masuk dan membersihkan bilik berkenaan selepas jam 5 petang hari kejadian.
Tiada isu mengenai pembersihan kawasan tempat kejadian. Pasukan forensik tetap menjalankan siasatan walaupun tempat kejadian sudah dibersihkan. Pasukan forensik masih boleh mengumpul barang bukti dan sampel di lokasi kejadian” Amidon Anan, Bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik PDRM Bukit Aman