Tiga maut treler rempuh kereta
Pemandu lori cuba elak haiwan masuk ke laluan bertentangan
Tiga termasuk dua beradik maut selepas kereta dinaiki bertembung sehingga terperosok bawah sebuah treler sebelum diseret ke dalam parit di Kilometer 44.5 Jalan Ipoh-taiping dekat Kampung Jamuan, di sini, malam kelmarin.
Kemalangan ngeri kira-kira jam 8 malam itu menyebabkan Muhammad Asyraf Hamdan Al Fikri, 27 dan adiknya yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Irfan, 17, maut.
Yang turut maut ialah jiran keduadua mangsa, Muhammad Amirul Fahmi Samsudin, 12, yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 24 September ini, manakala pemandu treler berusia 40 tahun cedera di bahagian kepala.
Semua mereka yang menaiki kereta jenis Nissan Sunny maut di tempat kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan, berkata siasatan awal mendapati treler tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Sungai Siput menghala ke Kuala Kangsar, sementara kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa pula dari arah bertentangan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian treler berkenaan dipercayai mengelak seekor binatang sebelum hilang kawalan hingga memasuki laluan bertentangan dan bertembung kereta dinaiki tiga mangsa terbabit.
Keadaan jalan gelap
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu treler berkenaan tidak dapat mengenal pasti binatang yang dielaknya berikutan keadaan gelap.
“Berikutan itu, treler dipandu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta sehingga terperosok di bawah treler,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Zahiri berkata, ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian, manakala pemandu treler cedera ringan.
“Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat, manakala pemandu treler dihantar hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, berikutan kejadian itu, pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abdul Sattar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian berhampiran pusat timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.36 malam.
“Anggota bomba terpaksa meminta bantuan kren milik sebuah syarikat swasta untuk mengangkat treler berkenaan.
“Bomba turut mengalami kesukaran mengeluarkan mayat mangsa berikutan kereta terbabit tersangkut di kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bervoltan tinggi dan meminta bantuan syarikat itu bagi memutuskan bekalan elektrik di kawasan itu untuk sementara waktu,” katanya.