Fendy enggan menaruh harapan
Pelakon, Fendy Bakry, enggan meletakkan harapan menggunung untuk menggenggam trofi pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 yang akan mencapai kemuncaknya pada 7 Oktober depan.
Bintang Mr Grey itu berkata, dia berasakan bukan sesuatu yang mudah untuk menyaingi populariti 19 calon awal lain dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular, anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu.
“Jujurnya, saya terkejut dengan pencalonan ini. Ada yang mengatakan, nama saya turut dicalonkan kerana impak drama Mr Grey yang dilakonkan bersama Eyra Hazali. Saya sendiri tidak menafikan kemungkinan itu.
“Namun, saya juga pernah dicalonkan dalam sebuah anugerah lain sebelum ini, tetapi rezeki tidak menyebelahi diri.
“Melihat kepada calon lain dalam kategori terbabit, saya seperti berada di bawah sahaja. Rasa gayat pun ada apabila memandang calon di atas,” kata artis naungan Prokuya Studios ini, merendah diri.
Fendy, 30, bagaimanapun berhutang budi pada kelab peminatnya, Fendynisme, yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sehingga menempatkan dirinya pada kedudukan sekarang.
Kembali bergandingan
Sementara itu, Fendy memberitahu, dia sekali lagi digandingkan dengan Eyra, kali ini menerusi telefilem berjudul Kahwin Kahwin.
Naskhah yang menemui penonton sebuah saluran berbayar, semalam, adalah lakonan pertamanya sejak kembali memeriahkan industri seni, selepas kira-kira tiga bulan pulang ke Perlis kerana dikatakan menghidap sakit misteri.
“Gandingan kami ini sebenarnya bukanlah dirancang, sebaliknya terjadi secara kebetulan. Bagaimanapun, ia tentu sahaja memudahkan kerja lakonan kerana kami pernah berlakon bersama sebelum ini.
“Ia juga seperti menunaikan impian dan harapan peminat yang mahu sekali lagi melihat gandingan saya dan Eyra selepas Mr Grey.
“Sebelum ini, memang ada peminat yang tertunggu-tunggu, apakah drama itu mempunyai kisah sambungannya? Apa yang saya tahu, tiada perancangan ke arah itu,” kata Fendy kepada HIP.
Semakin sibuk
Fendy atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri juga tidak menolak andai ada tawaran lain yang ingin menyatukan semula dirinya dengan pelakon wanita itu pada masa akan datang.
Selepas Kahwin Kahwin, Fendy berkata, buat julung kali dia berpeluang berlakon di sisi Amelia Henderson dalam telefilem, 30 Hari Membunuh Cinta.
“Insya-allah selepas Amelia, saya berkemungkinan besar akan disatukan pula dengan Amyra Rosli dalam sebuah megadrama,” katanya.