Jangan guna khidmat ‘orang tengah’
Miri: Ada kalangan rakyat negeri ini yang belum memiliki dokumen pengenalan diri, khususnya Mykad, dikesan menggunakan khidmat ‘orang tengah’ bagi membantu mereka menguruskan permohonan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon berkata, tindakan itu merumitkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memproses permohonan mereka kerana berdepan masalah kekurangan maklumat.
Beliau menegaskan pemohon sepatutnya hadir sendiri untuk memohon dokumen berkenaan tanpa mengharapkan ‘orang tengah’ kerana ia sekadar menyulitkan situasi berkenaan.
“Ramai yang berdepan masalah kewarganegaraan dan dokumen pengenalan diri menggunakan agen kerana takut menguruskan sendiri permohonan di JPN.
“Mereka sepatutnya datang sendiri menemui kakitangan JPN yang akan membimbing cara-cara mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah daripada kerajaan,” katanya kepada NSTP, di sini semalam.
Beliau menjelaskan sepanjang tempoh 30 tahun lalu, banyak permohonan status kewarganegaraan ditolak tanpa diberi alasan kukuh oleh JPN terhadap pemohon.
Katanya, di bawah kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH), proses rumit yang menyukarkan pemohon dapat dipermudahkan dengan adanya hubungan rapat antara agensi kerajaan dan rakyat.
Tiong Choon turut berterima kasih kepada JPN kerana membantu memudahkan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar negeri ini, memohon dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kita berharap dengan cara ini (penerangan) akan menggalak mereka datang sendiri ke JPN dan membuat permohonan,” katanya.