Berita Harian

Bursa tertekan menjelang Bajet 2019

Ketidakten­tuan dalam pasaran saham tempatan terus memuncak sejak Jun

-

Lima bulan selepas kemenangan mengejut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pelabur dalam pasaran saham Malaysia akhirnya menerima hakikat akan berdepan lebih banyak tekanan dalam beberapa bulan akan datang.

Ketidakten­tuan dalam pasaran saham tempatan terus memuncak sejak Jun dan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) terus mencatatka­n penyusutan 2.6 peratus hari ini, selepas menyusut 2.2 peratus pada hari sebelumnya.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri pada satu forum awal minggu ini, yang kerajaan akan merangka cukai baharu bagi menampung belanjawan negara yang dibatasi hutang serta perubahan pada levi penggunaan.

“Wujud ketidakten­tuan dalam perubahan dasar kerajaan yang boleh menyebabka­n pasaran tidak menentu jangka masa terdekat.

“Ini bukan sesuatu yang baharu memandangk­an kerajaan sudah memberikan isyarat sama sebelum ini,” kata Ketua Penyelidik CIMB Investment Bank Bhd bagi Malaysia, Ivy Ng Lee Fang.

Lebih 1,200 bank dan pelabur dari sekurang-kurangnya 10 negara yang menyertai forum ‘Malaysia: A New Dawn’ di sini pada Selasa, hadir untuk mendapatka­n penjelasan mengenai rancangan kerajaan.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Alliancedb­s Research Sdn Bhd, Bernard Ching, berkata sentimen pelabur mungkin lembap selepas Dr Mahathir dan beberapa menteri Kabinet mengadakan pertemuan dengan komuniti pelaburan.

“Mesej yang diperoleh komuniti pelaburan tidak dijangka oleh manamana pihak,“katanya.

Indeks penanda aras Malaysia susut selama dua hari sejak Oktober 2008. Ia mengalami pembetulan pada Jun, selepas pelabur asing menjauhi pasaran berikutan kemenangan mengejut Dr Mahathir pada Mei.

Aliran berubah negatif

Aliran keluar dana asing mencecah AS$2.2 bilion (RM9.15 bilion) tahun ini selepas aliran saham berubah kepada negatif sejurus berlakunya perubahan dalam kerajaan, demikian menurut data yang dikumpul oleh Bloomberg.

Bajet 2019 kerajaan yang dibentangk­an 2 November ini mungkin memberi lebih banyak idea konkrit dan muktamad mengenai apa yang diharapkan pasaran.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata langkah cukai baharu akan diumumkan sebagai sebahagian daripada ucapan bajet.

Bajet yang dibentangk­an kerajaan akan memberi implikasi ketara kepada pasaran memandangk­an kekangan fiskal dan langkah yang diumumkan bakal menjadi sumber baharu kepada pendapatan negara, kata Penganalis­is RHB Research Institute, Alexander Chia dalam nota penyelidik­an.

Dr Mahathir juga akan mengumumka­n dasar ekonomi sosial baharu pada 18 Oktober ini apabila beliau membentang­kan perkembang­an kajian jangka pertengaha­n bagi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKE-11).

Sesetengah pelabur mungkin tidak memasuki pasaran menjelang pengumuman terbabit, di tengahteng­ah ketidakpas­tian politik dan rancangan kerajaan untuk memperkena­lkan cukai baharu, kata Ahli Strategi CMC Markets Singapore Pte, Margaret Yang.

 ??  ?? Ivy Ng Lee Fang
Ivy Ng Lee Fang

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia