Berita Harian

Aida wanita pertama dilantik Pegawai Memerintah kapal

Lulusan Perakaunan dari UITM bukti mampu lonjak kerjaya Maritim Malaysia

- Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Benar kata orang, tak kenal maka tak cinta. Ungkapan itu tepat bagi menggambar­kan perjalanan kerjaya Leftenan Maritim Aida Arzahari, 35, sehingga berjaya menempa sejarah menjadi wanita pertama negara dilantik sebagai Pegawai Memerintah Kapal, milik Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Walaupun kerjaya itu memerlukan kekuatan mental dan fizikal serta lebih sinonim dengan lelaki, namun anak kelahiran Perlis membuktika­n kemampuann­ya mengetuai Kapal Maritim (KM) Nyalau yang berpangkal­an di Lumut, sejak tujuh bulan lalu.

Lebih membanggak­an, Aida sanggup mengorbank­an kerjaya impiannya sebagai akauntan bertauliah demi meneruskan legasi arwah bapanya, Arzahari Sudin, yang pernah berkhidmat dalam pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Malah, kerjaya ini juga sekali gus menunaikan impian ibunya, Hamiah Zain, 57, mahu melihat beliau menyarung pakaian seragam itu.

Kurang minat

Mengimbas kenangan enam tahun lalu, Aida mengakui beliau tidak meminati bidang itu, malah pernah menangis dan merayu kepada ibunya untuk meninggalk­an latihan berkenaan.

Namun, anak sulung tiga beradik menjelaska­n, perasaan itu dirasai hanya sekejap sahaja, selepas mendapat sokongan padu ibunya yang mahu beliau menamatkan latihan.

Justeru, cabaran utama beliau adalah mengubah aspek mental dan fizikal, serta mempelajar­i sesuatu perkara baharu dalam hidupnya.

“Selepas menamatkan latihan sembilan bulan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Pahang, saya menjalani latihan selama empat bulan di kapal KM Bangi.

“Pegawai Memerintah KM Bangi

ketika itu memberi cabaran untuk membentuk saya menjadi pegawai memerintah wanita pertama. Saya sahut cabaran itu.

“Biarpun begitu, saya tidak menyangka ia datang secepat ini. Ini tanggungja­wab besar menjaga perairan, aset negara dan anak kapal,” katanya kepada BH.

Aida dilantik sebagai Pegawai Memerintah KM Nyalau pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Maritim Malaysia Ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di AMSAS, pada 15 Februari lalu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UITM) itu dilantik pada 23 April 2012 sebagai pegawai pelatih dan pernah berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah.

Layanan sama rata

Aida berkata, KM Nyalau mempunyai 12 kru, termasuk beliau dan seorang lagi anggota wanita yang bertugas sebagai pegawai navigasi, manakala anak kapal selebihnya adalah lelaki.

Dengan kerjaya didominasi lelaki, pastinya mempunyai cabaran tersendiri, namun itu bukan masalah kepadanya kerana semua dilayan sama rata.

Katanya, sebagai ketua yang dikeliling­i hampir semua anggota lelaki, beliau bersikap tegas, sentiasa positif, toleransi, sentiasa terbuka menerima teguran dan nasihat daripada pasukannya demi memastikan perjalanan lebih lancar.

“Saling memahami dan komunikasi dua hala perlu bagi mencapai misi serta visi yang dibawa.

“Waktu kerja memang perlu serius, tetapi di luar kami adalah rakan dan keluarga.

“Biarpun saya sebagai wanita yang mengetuai kapal ini, Alhamdulil­lah semua berjalan lancar, kru juga memberi kerjasama dan memberi komitmen terbaik,” katanya.

Menceritak­an pengalaman manis sepanjang perkhidmat­annya, Aida berkata, menjadi seorang daripada 25 kru pertama membawa pulang KM Arau dari Jepun tahun lalu, adalah pengalaman berharga kerana beliau sahaja wanita di kapal berkenaan.

Ketika itu, beliau bertugas sebagai Pegawai Navigasi dan pelayaran melalui Lautan Pasifik, yang mengambil masa seminggu.

Beliau sudah lali dengan keadaan laut yang bergelora dan dalam apa juga keadaan, yang penting tugas digalas dilakukan dengan terbaik.

“Tugas memang mencabar dan menuntut kesabaran yang tinggi lebih-lebih lagi ketika itu bulan puasa.

“Lima hari pelayaran kami juga berdepan dengan cuaca buruk seperti angin kuat dan keadaan laut bergelora,” katanya.

Aida berkata, kejayaan dan kepercayaa­n yang dicapai hari ini menjadi pemangkin semangat untuk pencapaian lebih tinggi pada masa depan.

“Saya juga menyimpan hasrat untuk kembali ke KM Arau sebagai Pegawai Memerintah, suatu hari nanti,” katanya.

Katanya, wanita dilihat semakin berani ke hadapan dan sudah banyak pencapaian membabitka­n golongan ini, tidak hanya dalam malah di luar negara.

“Paling penting, jangan takut melakukan sesuatu yang mencabar diri, kerana ia akan memberikan pengalaman lebih indah biarpun pahit pada permulaan dan perlu mempunyai sifat terbuka selagi ia tidak melampaui batas,” katanya.

Kerjayanya menuntut lebih masa bagi memastikan perairan negara sentiasa terjamin dan biarpun masih bujang, beliau tetap mengutamak­an keluarga dan mengakui pengorbana­n besarnya berbaloi.

 ?? [FOTO EFFENDY RASHID /BH] ?? Aida (kiri) mengemudi kapal KM Nyalau di perairan berdekatan Pulau Pangkor.
[FOTO EFFENDY RASHID /BH] Aida (kiri) mengemudi kapal KM Nyalau di perairan berdekatan Pulau Pangkor.
 ??  ?? Aida bersama anggota KM Nyalau di Lumut, baru-baru ini.
Aida bersama anggota KM Nyalau di Lumut, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia