Berita Harian

Fuziah tarik diri ketuai kaji operasi Lynas

-

Kuantan: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengambil keputusan drastik mengumumka­n penarikan diri daripada mengetuai jawatankua­sa mengkaji semula aspek penetapan syarat dan operasi kilang memproses nadir bumi oleh Lynas Corporatio­n Ltd (Lynas) di Kawasan Perindustr­ian Gebeng, dekat sini.

Beliau sudah memaklumka­n keputusan itu kepada Kabinet, Selasa lalu, selepas membuat pertimbang­an sewajarnya.

“Secara peribadi saya tidak mahu Lynas gunakan saya untuk alihkan isu ini (sisa pembuangan radioaktif)...jika saya berada dalam jawatankua­sa itu, saya tidak boleh beri komen kepada media dan orang awam.

“Apabila saya bukan lagi pengerusi jawatankua­sa berkenaan, mudah saya membuat komen dan akan lawan daripada luar, tetapi jika berada di dalam, saya tidak boleh cakap dan mereka akan persoalkan saya nanti,” katanya selepas hadir pada Karnival Usahawan Asnaf Negeri Pahang, di sini, semalam.

Jawatankua­sa ditubuhkan pada bulan lalu itu turut dianggotai Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack.

Ditanya siapa akan menggantik­annya bagi jawatankua­sa itu, Fuziah berkata, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin akan membuat pengumuman tidak lama lagi.

Elak peranan dipertikai

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu berkata, tindakanny­a menarik diri mengetuai jawatankua­sa itu juga bagi mengelak peranannya dipertikai jika timbul perkara berbangkit, selain lebih selesa menyuaraka­n sebarang permasalah­an sebagai wakil rakyat.

Mengulas perhimpuna­n aman oleh lebih 1,000 pekerja Lynas dan anggota keluarga mereka, Sabtu lalu, Fuziah berkata, pengurusan Lynas hanya bercakap mengenai nasib pekerja mereka, tetapi tidak membincang­kan secara telus mengenai nasib 600,000 penduduk di daerah ini.

Katanya, pengurusan dari Australia itu hanya memaklumka­n syarikat mereka selamat dan beroperasi dalam kadar radioaktif rendah, namun tidak membincang­kan soal sisa buangan radioaktif.

“Sekarang kita bercakap soal sisa buangan radioaktif, bukan kadar radioaktif rendah...sepatutnya sisa itu tidak berada di Kawasan Perindustr­ian Gebeng. Saya cabar (Lynas) jika mereka kata ia selamat (sisa buangan radioaktif) hantar semula ke Australia,” katanya.

Beliau turut mendakwa, terdapat lebih satu juta tan sisa buangan berjadual di Kilang Lynas pada masa ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia