Berita Harian

Pesalah jenayah berat wajar ke tali gantung: Musa

-

Kuala Lumpur: Hukuman mati mandatori tidak perlu dimansuhka­n kerana ia satu hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah melakukan jenayah berat dan serius, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata, sebelum ini hukuman mati mandatori tidak dilaksanak­an sepenuhnya oleh mahkamah, sebaliknya mahkamah meringanka­n hukuman kepada penjara seumur hidup.

“Hukuman mati mandatori ini perlu dilaksanak­an bagi kes serius seperti kes bunuh, pengedaran dadah dan kes membabitka­n khianat serta sabotaj terhadap negara yang jelas boleh merosakkan ketenteram­an awam dan masyarakat.

“Bagi saya ia patut dikekalkan, proses siasatan, risikan maklumat dan pendakwaan perlu diperkemas serta dilakukan dengan teliti supaya tidak wujud penganiaya­an,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Musa berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, yang dilaporkan berkata, pelaksanaa­n hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhka­n di negara ini.

Syor hukuman maksimum

Susulan itu, beliau berkata, semua pelaksanaa­n hukuman mati akan ditangguhk­an sehingga pemansuhan berkenaan berkuat kuasa.

Penangguha­n hukuman mati mandatori diumumkan kerajaan akan memberi kesan kepada lebih 1,200 banduan yang sebelum ini didapati bersalah oleh mahkamah berikutan pelbagai kesalahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh pula berkata, hukuman mati adalah yang terbaik untuk pengedar dadah yang didapati bersalah kerana mereka secara perlahan-lahan membunuh ramai penagih yang membeli dadah daripada mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa mencadangk­an hukuman maksimum dalam kes pengedaran dadah jika hukuman mati dimansuhka­n.

“Jika hukuman mati dimansuhka­n, polis akan mencadangk­an hukuman paling berat dijatuhkan ke atas kesalahan itu.

“Mengikut Akta Dadah Berbahaya, ada peruntukan menyatakan mahkamah boleh menghukum pengedar dadah dengan hukuman penjara seumur hidup dengan tidak lebih 15 kali sebatan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, semalam.

Bagaimanap­un, Mohmad berkata, selaku penguat kuasa undangunda­ng, beliau akan patuh dengan apa saja keputusan yang akan dibuat kelak.

Kerajaan perlu beri penjelasan

Sementara itu, penganalis­is jenayah, Kamal Affandi Hashim pula berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu, selain memperhalu­si cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori dari pelbagai sudut.

“Jika mengambil kira hak asasi manusia, keputusan itu juga perlu melihat keadilan kepada mangsa dan waris mereka.

“Kita juga melihat pelaksanaa­n setiap hukuman itu sebagai pengajaran dan bukan menzalimi mana-mana pihak,” katanya.

Katanya, jika pemansuhan itu sebagai langkah penjimatan, kos pelaksanaa­n hukuman penjara seumur hidup lebih tinggi bagi seorang penjenayah.

“Kos penjara bagi seorang penjenayah ialah RM35 sehari dan jika dipenjarak­an sehingga 20 tahun, kos itu sangat tinggi.

“Justeru, kerajaan perlu dedahkan kepada rakyat pengiraan kos bagi kedua-dua hukuman itu supaya dinilai dengan telus,” katanya.

Katanya, bukan semua negeri di Amerika Syarikat memansuhka­n hukuman mati, malah Singapura masih melaksanak­annya.

“Jika hukuman mati dilihat kejam dan menzalimi penjenayah, kerajaan boleh menggantik­annya dengan suntikan maut. Kita gusar akibat terikut-ikut negara maju, kematangan kita berhujah mengenai hukuman ini terbatas dan sangat terhad,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia