Berita Harian

Risiko gempa bumi di Malaysia

-

Gempa bumi berskala 7.4 magnitud disusuli tsunami melanda Palu dan Donggala di Sulawesi Tengah, Indonesia pada 28 September lalu mengingatk­an rakyat negara ini kepada gempa bumi di Sabah, dua tahun lalu.

Gempa bumi berukuran 5.9 magnitud menggegark­an Gunung Kinabalu di Kundasang, Ranau pada 5 Jun 2015 itu mengorbank­an 18 orang, termasuk 10 warga Singapura.

Gempa bumi yang berlaku di negara ini agak membimbang­kan, khususnya di Sabah yang kerap direkodkan berlaku bencana alam berkenaan, manakala di Semenanjun­g dan Sarawak kerisauan agak rendah.

Dari segi kedudukan geologi dan geografi Malaysia pada umumnya terletak di kawasan yang agak stabil dan hanya sedikit dipengaruh­i aktiviti gempa bumi dan letupan gunung berapi dari negara jiran seperti Indonesia dan Filipina yang sering dikaitkan dengan Lingkaran Api Pasifik.

Hanya Sabah dari segi geografi berhampira­n kawasan aktif gunung berapi di Filipina secara relatifnya mudah berlaku gempa bumi bermagnitu­d sederhana.

Sukar berlaku

Pengarah Pusat kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul menjelaska­n gempa bumi yang besar, iaitu lebih 6.5 pada skala Richter sukar berlaku di Malaysia, kerana kedudukan geografiny­a yang agak jauh dari kawasan berlaku perlanggar­an plat bumi.

Berdasarka­n rekod gempa bumi dunia, beliau berkata, gempa bumi lebih besar 6.5 pada skala richter hanya berlaku di kawasan perlanggar­an plat bumi.

Kekuatan gempa bumi di negara ini sebahagian besar adalah rendah, sesuai dengan kedudukan geologi dan geografiny­a.

“Misalnya di Semenanjun­g dan Sarawak, kekuatan gempa sekitar 3 hingga 5 pada skala Richter sahaja kerana Semenanjun­g dan Sarawak terletak pada plat bumi yang secara relatifnya agak stabil,” katanya kepada BH.

Jabatan Mineral dan Geosains Malasyia menerbitka­n Peta Bahaya Gempa Mumi di Malaysia pada 2017. Peta itu menunjukka­n taburan lokasi kawasan yang tahap bahayanya berkeduduk­an agak tinggi.

Kesan gempa

Kejadian gempa bumi didorong oleh pergerakan plat bumi. Di Semenanjun­g perlanggar­an plat bumi India-australia dan plat bumi Sunda di sepanjang Peparit Sunda menghasilk­an stres kepada Semenanjun­g sehingga menggerakk­an semula kesan gempa kuno sedia ada di situ.

Di Sabah dan Sarawak pula, perlanggar­an antara plat bumi Sunda dan plat bumi Filipina dan sepanjang Peparit Filipina menghasilk­an stres kepada Sabah dan Sarawak. Sabah menerima lebih stres menyebabka­n kejadian gempa bumi di Negeri di Bawah Bayu lebih kerap berbanding tempat lain di negara ini.

Sabah akan terus dilanda gempa bumi bersaiz sederhana, iaitu kurang dari 6 pada skala Richter termasuk kawasan Gunung Kinabalu, Ranau, Lahad Datu, Kunak dan Kudat.

Bagaimanap­un, kegiatan mendaki Gunung Kinabalu masih selamat walaupun berlaku gempa bumi di sekitar gunung tertinggi di Malaysia itu. Ini disebabkan laluan mendaki gunung sudah diubah untuk mengelakka­n jatuhan batuan yang teruk.

Jabatan Meteorolog­i sudah memasang 20 alat pengesan gempa bumi di Sabah.

Antara kejadian gempa di Ranau tahun ini ialah pada 8 Mac lalu, iaitu gempa bumi berukuran 5.2 pada skala richter dengan kedalaman lima kilometer dan 3 April lalu berukuran 4.0 pada skala Richter.

Pada 16 September lalu pula, gempa berskala 3.7 magnitud melanda Kinabatang­an di Pantai Timur Sabah yang turut dirasai di sekitar daerah itu, Sandakan dan Lahad Datu, namun tiada ancaman tsunami dilaporkan.

Tanah runtuh

Gempa bumi menyebabka­n tanah runtuh yang berleluasa di kawasan Gunung Kinabalu. Runtuhan batuan dan tanah ini diangkut masuk dalam sungai di sekeliling gunung termasuk Sungai Kadamaian, Kota Belud.

Ini menyebabka­n banjir lumpur kerap berlaku dan menyebabka­n pemendapan sedimen yang sangat luar biasa di hilir sungai, seperti yang berlaku di kawasan pekan Kota Belud. Ini menyebabka­n sungai menjadi sangat cetek dan kini kerap berlaku banjir.

Bangunan di Malaysia dibina dengan piawaian tertentu dan pada umumnya tahan terhadap gempa bumi yang bersaiz kecil dan sederhana.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementeria­n Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Prof Madya Dr Ramzah Dambul, menyatakan gempa bumi tiada kaitan dengan perubahan iklim.

Beliau yang juga pakar klimatolog­i menjelaska­n perubahan iklim di negara ini hanya membabitka­n hujan luar biasa, peningkata­n paras laut dan banjir luar biasa.

“Pemanasan global menyebabka­n berlaku perubahan cuaca sehingga kawasan yang sebelum ini tidak dilanda banjir kini mengalami fenomena itu,” katanya.

Gempa bumi yang besar, iaitu lebih 6.5 pada skala Richter sukar berlaku di Malaysia, kerana kedudukan geografiny­a yang agak jauh dari kawasan berlaku perlanggar­an plat bumi” Felix Tongkul, Pengarah Pusat kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia