Berita Harian

Pemandu treler mengaku tak bersalah

-

Kuala Kangsar: Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabka­n kematian lima individu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Mohd Zaidi Di, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorhidaya­h Mohd Saad.

Dia didakwa memandu treler di bawah pengaruh dadah menyebabka­nnya tidak berdaya mengawal kenderaan dan mengakibat­kan kematian lima individu iaitu tiga wanita, seorang lelaki dan seorang bayi lelaki itu di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), jam 11.47 pagi, Sabtu lalu.

Kelima-lima mangsa terbabit ialah Yew Poh Shy, 37, dan bayi lelakinya, Yew Yi Chen, berusia setahun; Teo Wee Tat. Tiga lagi mangsa adalah lelaki penumpang hadapan, Teo Wee Tatt, 46, serta dua wanita penumpang belakang iaitu Shaw Swee Me, 42, dan Lee Len Ying, 60.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987, yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun dan didenda maksimum RM20,000.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, yang juga Pengarah Pendakwaan Perak, Azhar Mokhtar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tidak benar ikat jamin

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarka­n sebarang ikat jamin kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah berat iaitu memandu di bawah pengaruh dadah dan mengakibat­kan kematian banyak nyawa.

Azhar berkata, tertuduh juga mempunyai 31 saman membabitka­n pelbagai kesalahan lalu lintas sejak 1999 hingga 2018 dan masih memandu dengan cuai serta tidak serik melakukan kesalahan.

Bagaimanap­un, tertuduh merayu dia diberikan ikat jamin kerana perlu menjaga ibu bapa yang uzur, selain menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan empat anak.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 November depan tarikh sebutan semula kes bagi membolehka­n serahan dokumen dan lantikan peguam dibuat.

Mahkamah juga tidak membenarka­n tertuduh diikat jamin dan memerintah­kan lesen memandu tertuduh ditarik balik, digantung serta diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding kes berkenaan selesai.

Dalam kejadian 11.45 pagi Sabtu lalu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan dan menghimpit kereta Kia Forte ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan, sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar dan mengorbank­an lima mangsa.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Perak, Superinten­dan Ahmad Adnan Basri, berkata laporan spesimen darah dan ujian air kencing Mohd Zaidi mendapati dia positif amphetamin­e, methamphet­amine, diphenhydr­amine dan chlorpheni­ramine.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia