Berita Harian

2 polis marin jaga ‘line’ seludup rokok ditahan

Rampasan RM9 juta dalam operasi di Johor Bahru lumpuhkan sindiket

- Oleh Mohd Sabran Md Sani dan Safeek Affendy Razali cnews@nstp.com.my Mersing

Dua anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor antara 23 individu yang ditahan ketika polis melumpuhka­n sindiket penyeludup­an rokok membabitka­n nilai rampasan berjumlah RM 9 juta, pagi kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamata­n Dalam Negeri dan Ketenteram­an Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya menjalanka­n siasatan dan menahan kedua-dua anggota itu selepas dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.

“Peranan kedua-dua lelaki yang berpangkat koperal sebagai jaga line, untuk memastikan keadaan laluan penyeludup­an selamat digunakan.

Kedudukan paling hadapan

“Berdasarka­n siasatan awal, mereka bergerak dalam kedudukan paling hadapan semasa sesuatu proses membawa rokok seludup dijalankan sindiket.

“Tujuannya bagi memastikan tiada sekatan jalan raya oleh polis atau pihak berkuasa. Sekiranya ada, sindiket akan berpatah balik atau bersembuny­i di lokasi lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Acryl Sani berkata, pihaknya kini masih menjalanka­n siasatan terperinci berhubung pembabitan kedua-dua anggota polis marin berusia 30-an itu.

Difahamkan, kedua-dua anggota polis berkenaan ditahan bersama dalang sindiket penyeludup­an rokok itu di sekitar Johor Bahru dalam operasi bermula Rabu lalu.

Terdahulu, polis menumpaska­n sindiket penyeludup­an rokok terbesar di Pantai Timur Johor dengan tertangkap­nya 23 individu dalam tiga serbuan berasingan di negeri ini, bermula Rabu lalu.

Acryl Sani berkata, operasi membabitka­n anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di dua kilang dan kediaman perseorang­an sekitar negeri ini.

“Operasi ini menahan tujuh lelaki tempatan dan 16 lelaki warga Indonesia berusia 24 hingga 46 tahun.

Serbu tiga lokasi

“Sebanyak 19 kereta, lima lori tiga tan, 1,332 kotak rokok dan wang tunai RM9,645 dirampas dalam beberapa serbuan itu.

“Tiga lokasi yang diserbu ialah sebuah kilang di FELDA Tenggaroh 2 dan di Nusajaya, dan sebuah rumah di Taman Johor Jaya,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, semalam.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket penyeludup­an rokok terbesar di Pantai Timur Johor itu bergerak aktif sejak 2017.

“Kita juga masih menyiasat sejauh mana pembabitan sindiket ini. Buat masa ini kami dapati mereka terdiri daripada pengedar rokok kecil-kecilan di sekitar Johor, Lembah Klang dan Pantai Timur,” katanya.

Acryl Sani berkata, siasatan mendapati sindiket itu menggunaka­n kenderaan mewah sebagai modus operandi untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Ia berdasarka­n 19 kenderaan yang dirampas bernilai RM3 juta seperti Toyota Vellfire dan Toyota Estima,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati satu lori dirampas ada rekod dilaporkan hilang pada 2012, manakala tiga kenderaan lain tiada dalam rekod Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ).

 ?? [FOTO MOHD SABRAN MD SANI /BH] ?? Acryl Sani memeriksa rokok seludup yang dirampas pada sidang media di IPD Mersing, semalam.
[FOTO MOHD SABRAN MD SANI /BH] Acryl Sani memeriksa rokok seludup yang dirampas pada sidang media di IPD Mersing, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia