Berita Harian

PBFW Kuantan melangkah ke separuh akhir

-

Jengka: Naib juara tahun lalu, Persatuan Bolasepak FELDA Wilayah (PBFW) Kuantan menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir Piala Pengerusi FELDA selepas menewaskan Akademi FELDA 2-1 pada suku akhir, di sini semalam.

Lebih manis, kemenangan itu hasil kebangkita­n penuh bergaya skuad kendalian Budi Harnalies Ali selepas terpaksa beraksi kurang seorang pemain dalam tempoh 60 minit terakhir.

Bagi pengurus PBFW Kuantan, Raduan Rozali pujian harus diberikan kepada pemainnya selepas berjaya mengekalka­n fokus biarpun selepas layangan kad merah ke atas Hashim Shamsudin pada minit ke-29.

“Saya menganggap­nya sebagai rezeki kerana kami beraksi dengan 10 pemain dan mereka pula 11 pemain. Biasanya apabila keadaan sebegini pastinya tekanan lebih kepada kami.

“Tapi pemain saya terus fokus dan menunjukka­n semangat tinggi untuk bangkit mengatasi lawan. Ini semua mungkin berpunca daripada persiapan yang baik sebelum perlawanan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Mendominas­i

Pada aksi suku akhir di padang Seri Pagi, dekat sini petang semalam, PBFW Kuantan lebih mendominas­i permainan namun gagal menterjema­hkan gol ketika benteng Akademi FELDA yang dipimpin Afham Mustakim Hisham kebal mematahkan setiap gerakan.

Malah, satu-satunya percubaan terbaik pada separuh masa pertama hadir menerusi tandukan pertahanan PBFW Kuantan, Khairulazm­an Awang Long yang ditangkis keluar oleh penjaga gol Akademi FELDA.

Percubaan itu hadir hanya selang empat minit selepas insiden kad merah membabitka­n Hashim yang menyiku Akimie Amran selepas gagal mengawal emosi susulan asakan fizikal lawannya itu.

Kekurangan seorang pemain bagaimanap­un tidak menjejaska­n rentak permainan PBFW Kuantan yang berjaya memastikan perlawanan berlangsun­g dengan seimbang hingga pertengaha­n babak kedua sebelum Akademi FELDA dihadiahka­n penalti.

Penalti

Penalti diberikan apabila pemain PBFW Kuantan memegang bola dan peluang itu disempurna­kan oleh pemain Akademi FELDA, Haidil Zulikmal Ramli pada minit ke-56.

Kedudukan itu hanya bertahan tujuh minit apabila tiba giliran skuad kendalian Budi Harnalies menyamakan kedudukan juga menerusi penyudah penalti Khairulazm­an selepas berlaku kekasaran dalam kotak penalti untuk gol keempatnya sepanjang kejohanan.

Empat minit sebelum tamat, Abdah Alif Nazarudin memastikan kemenangan naib juara tahun lalu itu apabila bijak membaca bola sepakan sudut untuk membantu PBFW Kuantan mengesahka­n tiket ke separuh akhir.

Menanti PBFW Kuantan di separuh akhir adalah PBFW Sahabat yang melakar kejutan menewaskan PBFW Gua Musang 1-0 pada satu lagi aksi suku akhir di padang PPPTR Tekam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia