Berita Harian

Restoran dilarang sedia ruang khas merokok

-

Alor Setar: Kerajaan tidak membenarka­n pengusaha restoran dan makanan menyediaka­n ruang khas merokok susulan larangan merokok di semua premis berkenaan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata masih ada banyak cara lain boleh digunakan perokok untuk menghilang­kan ketagihan mereka, bukan menyediaka­n kemudahan itu.

“Kementeria­n tetap dengan keputusan meluaskan kawasan larangan merokok di kawasan restoran terbuka kerana sebelum ini larangan itu hanya berkuat kuasa untuk restoran berhawa dingin.

“Larangan merokok di tempat awam berkuat kuasa mulai tahun depan dan tindakan akan diambil terhadap perokok serta pemilik restoran yang ingkar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Alor Setar 2018 di sini, semalam.

Langkah kurangkan perbelanja­an negara

Beliau ditanya kemungkina­n pengusaha restoran dan makanan menyediaka­n ruang khas merokok di premis itu berikutan keputusan Kementeria­n Kesihatan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan mulai 1 Januari 2019.

Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, peniaga dan perokok yang tidak mematuhi peraturan boleh didakwa mengikut Peraturan-peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983.

“Larangan ini perlu dilaksanak­an segera dan ia diharap dapat mengurangk­an perbelanja­an kerajaan dalam kos rawatan pesakit yang berpunca daripada asap rokok,” katanya.

Sementara itu, Boon Chye berkata, keputusan ujian sampel laksa yang diambil di sebuah kedai makan di Kampung Landak, Baling, yang dikatakan menyebabka­n pelanggann­ya mengalami keracunan, akan diketahui dalam tempoh dua hari lagi.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung keputusan sampel berkenaan sebelum dapat mengesahka­n punca kejadian itu.

“Setakat ini, kita belum tahu jenis kuman atau bakteria yang menyebabka­n keracunan itu sehingga mengakibat­kan dua kematian. Kedai itu juga sudah diarahkan ditutup sehingga siasatan selesai,” katanya.

Ambil tindakan terhadap penjual laksa

Beliau berkata, jika keracunan itu disahkan berpunca daripada laksa berkenaan, peniaga terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Makanan dan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit dan Peraturan Makanan.

Sebelum ini, Kementeria­n Kesihatan mengesahka­n 61 kes keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Baling.

Kementeria­n tetap dengan keputusan meluaskan kawasan larangan merokok di kawasan restoran terbuka” Dr Lee Boon Chye, Timbalan Menteri Kesihatan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia