Berita Harian

Anwar angkat sumpah Ahli Parlimen, tak paksa PM serah kuasa

Ketua Umum PH tetap pendirian tak paksa PM segera serah jawatan

- Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalam dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum majlis angkat sumpah Ahli Parlimen Port Dickson di Dewan Rakyat, semalam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak menetapkan sebarang tempoh masa khusus kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melakukan proses peralihan kuasa kepadanya menjadi Perdana Menteri kelapan.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) yang baru mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di Dewan Rakyat semalam, berkata beliau tetap dengan pendiriann­ya sebelum ini tidak akan memaksa Perdana Menteri menyerahka­n kuasa kepadanya dalam tempoh terdekat.

Malah Anwar berkata, beliau cukup insaf yang peranannya yang penting ketika ini ialah memastikan kerajaan yang wujud hari ini stabil di bawah pimpinan Dr Mahathir.

“Biar beliau (Dr Mahathir) tahu dan saya jelaskan semula, rancangan itu (peralihan kuasa) tidak akan diganggu oleh tempoh masa atau tekanan.

“Ini penting kerana ada beberapa keputusan dibuat Dr Mahathir dan Kabinet adalah keputusan dasar yang penting. Dasar dan keputusan dibuat kerajaan terdahulu perlu dikaji semula dan ia memerlukan sokongan penuh PH, termasuk saya.

Pastikan kerajaan stabil, kukuh

“Tadi sebelum mengangkat sumpah, saya sempat memaklumka­n kepada Dr Mahathir yang tugas saya ialah pastikan kerajaan ini stabil dan kukuh di bawah pimpinanny­a,” katanya pada sidang media pertamanya di Parlimen selepas mengangkat sumpah, semalam.

Anwar yang menang jawatan Presiden PKR tanpa bertanding dan memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada Sabtu lalu, turut menegaskan tidak berhasrat menyertai Kabinet Dr Mahathir dalam tempoh terdekat.

“Tidak. Saya tetap dengan pendirian awal tidak akan merebut jawatan. Saya gembira dengan kedudukan ini (sebagai Ahli Parlimen).

“Saya juga lebih selesa menjadi penyokong kepada kerajaan, bukan Ketua Whip. Saya akan beri sokongan penuh dan memberi sumbangan menerusi Parlimen dan reformasi Parlimen.

“Saya juga tetap akan berhubung rapat dengan semua menteri dan Ahli Parlimen sebagai sebahagian daripada tanggungja­wab sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Biar beliau (Dr Mahathir) tahu dan saya jelaskan semula, rancangan itu (peralihan kuasa) tidak akan diganggu oleh tempoh masa atau tekanan” Anwar Ibrahim, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH)

 ??  ??
 ?? [FOTO AIZUDDIN SAAD/BH] ?? Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson yang baharu pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO AIZUDDIN SAAD/BH] Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson yang baharu pada sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia