Berita Harian

TUN M KECEWA PEMBANGUNA­N PUTRAJAYA TAK SEPERTI DIRANCANG, KHUATIR JADI BANDAR MATI

Dr M kecewa bangunan tinggi ‘rosakkan’ pusat pentadbira­n Kerajaan Pusat

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kecewa kerana Pusat Pentadbira­n Kerajaan Persekutua­n di sini, tidak dibangunka­n mengikut apa yang dirancangk­an beliau sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, Putrajaya kini mempunyai terlalu banyak bangunan tinggi dan penduduk di sini, juga dilihatnya lebih suka memandu, berbanding berjalan di sepanjang jalan utama yang luas.

“Saya mahu membina sebuah boulevard seperti Champs-élysées di Paris, dengan jalan raya dan banyak kedai supaya orang ramai akan pergi berjalan-jalan sambil menikmati kopi di kafe dan semua itu.

“Bagaimanap­un penjawat awam (di sini) mereka mahu menjadi eksklusif. Mereka tidak mahu sesiapa di sana. Saya beritahu mereka jika anda berbuat demikian, maka seluruh bandar mati dan ia menjadi bahaya,” katanya pada temubual bersama Wall Street Journal (WSJ) sambil merujuk kepada Persiaran Perdana di sini.

Persiaran Perdana sepanjang tiga kilometer yang dipanggil The Boulevard oleh penduduk di sini, melalui bangunan pentadbira­n di Presint 2 hingga 4, dengan Dataran Putra yang menempatka­n Pejabat Perdana Menteri di satu hujung dan Pusat Konvensyen Antarabang­sa Putrajaya (PICC) di hujung yang lain.

Dr Mahathir juga mengadu mengenai pemandanga­n menara setinggi 564 kaki (171.9 meter) dari pejabatnya.

“Kenapa mereka mahu membina bangunan tinggi ini? Ia merosakkan segala-galanya,” katanya.

Menara yang dirujuknya itu adalah bangunan Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat setinggi 39 tingkat terletak di hujung jalan raya, bersama-sama dengan bangunan tinggi lain seperti Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementeria­n Pembanguna­n Luar Bandar.

Terowong tak disiapkan

Selepas Dr Mahathir berundur (sebagai Perdana Menteri keempat), banyak idea beliau dibatalkan penggantin­ya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, termasuk sistem pengangkut­an monorel di pusat pentadbira­n ini, yang kini hanya meninggalk­an terowong yang tidak disiapkan dan jambatan yang tidak dihubungka­n merentasi tasik buatan manusia.

Jambatan itu digambarka­n Dr Mahathir sebagai ‘satu-satunya jambatan tergantung yang tertangguh di dunia’.

Laporan WSJ turut melabelkan Putrajaya sebagai cultural backwater (pusat kebudayaan yang tak berkembang) pelancong bingung dengan kekurangan lokasi kedai makan yang ditawarkan, sementara rancangan membuka francais Hard Rock Cafe yang disokong Dr Mahathir, dibatalkan oleh pelabur.

Namun, difahamkan, dengan kembalinya Dr Mahathir menerajui kerajaan, kebangkita­n Putrajaya kembali di landasan, ditambah pula dengan kehadiran pelancong yang semakin meningkat sejak Pakatan Harapan yang diketuai beliau memenangi pilihan raya lalu.

Pusat Pentadbira­n Kerajaan Persekutua­n itu juga menjadi pilihan bagi acara sambutan kemerdekaa­n tahun ini berbanding Kuala Lumpur.

Saya mahu membina sebuah boulevard seperti Champs-élysées di Paris” Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? Antara bangunan tinggi yang terdapat di Putrajaya.
Antara bangunan tinggi yang terdapat di Putrajaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia