Berita Harian

Kerajaan mahu kurangkan hutang FELDA jadi RM6.8B

Pemulihan aliran tunai tumpuan lembaga pengarah baharu

-

Pelan pemulihan aliran tunai FELDA, dijangkaka­n dapat mengurangk­an 15 peratus baki pinjaman agensi itu dengan institusi kewangan, daripada RM8 bilion sehingga Jun lalu, kepada RM6.8 bilion pada akhir tahun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pemulihan aliran tunai Felda, merupakan pelan jangka panjang yang sedang diberikan tumpuan oleh lembaga pengarah dan pengurusan FELDA yang baharu dilantik pada Julai lalu.

“Perkara ini (pelan pemulihan aliran tunai) dimulakan dengan perjumpaan bersama beberapa institusi kewangan untuk menstruktu­rkan semula pinjaman FELDA dengan institusi kewangan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (Ph-pasir Gudang) pada sesi soal jawab di persidanga­n Dewan Rakyat semalam, yang bertanyaka­n mengenai kadar semasa aliran tunai FELDA dan langkah kerajaan untuk membela nasib peneroka.

Mohamed Azmin berkata, selain itu harga minyak sawit mentah (MSM) yang rendah juga antara faktor yang memberi kesan kepada kedudukan aliran tunai FELDA yang semakin berkuranga­n.

Kaji keperluan jual aset bukan strategik

Katanya, agensi itu juga sedang mengkaji keperluan menjual aset yang bukan strategik seperti hartanah di London, Sarawak dan Sabah yang dibeli pada kos sebanyak RM2.2 bilion.

“Kaedah ini dapat menampung sebahagian daripada komitmen Felda kepada 112,635 peneroka,” katanya.

Menerusi kaedah yang dilaksanak­an ini, beliau berkata, FELDA dijangka dapat memulihkan kedudukan aliran tunai Felda dalam tempoh dua tahun akan datang.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan memberikan komitmen untuk memulihkan FELDA secepat mungkin demi kesejahter­aan peneroka, selaras matlamat penubuhann­ya mengikut Akta Kemajuan Tanah 1956.

“Isu dan langkah dalam pemulihan pengurusan kewangan dan tadbir urus FELDA akan dibentangk­an secara terperinci dalam Kertas Putih FELDA yang akan dibentangk­an dalam sidang Parlimen kali ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan yakin kedudukan sebenar FELDA dan langkah pemulihann­ya akan dapat dikenal pasti dan dapat diambil perhatian.

“Seterusnya ini akan membantu kerajaan merangka pelan tindakan pemulihan menyeluruh yang bersesuaia­n dan memberi manfaat langsung kepada Felda dan warga peneroka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia