Berita Harian

Gelaran bukan penghalang tabur bakti

-

Putrajaya: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Rina Harun, tidak sependapat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berhubung penerimaan darjah kebesaran yang dianugerah­kan kepada pemimpin yang berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Rina yang juga Menteri Pembanguna­n Luar Bandar, menyifatka­n penganuger­ahan darjah kebesaran yang membawa gelaran, bukan penghalang kepada mereka dalam memberikan khidmat kepada rakyat, sebaliknya sebagai galakan untuk terus menabur bakti.

Beliau yang baru menerima anugerah Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran Datuk Seri daripada Yang di-pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, pada Sabtu lalu, bersyukur dan berbesar hati dengan kurniaan darjah kebesaran kepadanya, sekali gus melihatnya dari sudut yang positif.

“Kita manusia, hanya mampu merancang dan sebaik-baik perancang adalah Allah. Jadi terpulang kepada diri masing-masing dan saya berharap ini perkara positif kepada saya untuk terus memberi khidmat kepada rakyat.

“Pengurniaa­n ini sebenarnya bukan sesuatu yang menghalang kita untuk terus berkhidmat, tetapi sebagai galakan untuk terus menabur bakti kepada rakyat,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Konvokesye­n Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) di sini, semalam.

Kecaman netizen

Sabtu lalu, Rina mendahului senarai 419 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena sambutan Hari Jadi Ke-80 Yang di-pertua Negeri Melaka.

Ditanya mengenai penganuger­ahan itu turut menerima kecaman netizen, Rina berkata, penganuger­ahan itu sudah pasti melalui proses pemilihan.

“Bagi kita, ini adalah kurniaan dan sebagai penerima, kita menerima. Kita berharap ini satu penerimaan positif kepada kita.

“Mereka boleh memberikan pelbagai pandangan dan pendapat tetapi diri kita yang menerima kurniaan ini, sudah pasti kena anggap ia suatu perkara untuk kita terus memberikan khidmat. Saya masih Rina Mohd Harun yang sama, jangan bimbang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kabinet juga tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk menteri atau timbalan menteri berhubung penerimaan darjah berkenaan.

Pada sambutan itu juga, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Melaka iaitu ADUN Bandar Hilir merangkap Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew dan Dr Wong Fort Pin (Bemban) turut dianugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Minggu lalu pula, dua menteri daripada DAP Sabah, iaitu Stephen Wong dan Frankie Poon dianugerah­kan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.

Satu penghormat­an

Susulan itu, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan, membuat teguran terbuka kepada pemimpin parti terbabit, kerana tindakan mereka tidak mencermink­an semangat perjuangan sebenar DAP, sekali gus memberikan persepsi lain kepada rakyat kerana parti itu tidak sampai setahun menjadi kerajaan.

Sementara itu, Fort Pin yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, menyifatka­n anugerah yang beliau dan Kok Kiew terima daripada Mohd Khalil adalah satu penghormat­an yang diterima dengan perasaan besar hati kerana mereka tidak pernah sesekali melobi anugerah itu.

 ?? [FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR /BH] ?? Rina beramah mesra dengan graduan selepas Majlis Konvokesye­n Universiti Kuala Lumpur di Putrajaya, semalam.
[FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR /BH] Rina beramah mesra dengan graduan selepas Majlis Konvokesye­n Universiti Kuala Lumpur di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia