Berita Harian

Tun M lahir rasa gembira Anwar kembali ke Parlimen

Kemenangan Ketua Umum PH pada PRK Port Dickson sudah dijangka

-

Laporan Mohd Anwar Patho Rohman dan Luqman Arif Abdul Karim

Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa gembira melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali semula ke Dewan Rakyat susulan kejayaan memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada Sabtu lalu.

“Sudah tentu saya gembira. Beliau dari parti yang sama. Kita sudah jangka beliau akan menang. Kita juga tahu beliau akan kembali (ke Dewan Rakyat).

“Ada tujuh calon bertanding dan enam termasuk pembangkan­g sudah tentu berpecah, maka calon ketujuh akan menang. Anwar menang besar,” kata Perdana Menteri kepada media di lobi Parlimen semalam.

Sabtu lalu, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), memenangi PRK Parlimen Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi.

Tewaskan enam pencabar

Anwar menewaskan enam pencabarny­a iaitu calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, yang memperoleh 7,456 undi.

Calon lain, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 4,230 undi, manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.

Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh 337 undi, manakala Lau Seck Yan (214 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi)

Anwar, 71, layak bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson selepas mendapat pengampuna­n diraja daripada Yang di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

Ditanya mengenai lawatannya ke Kedah semalam, Dr Mahathir berkata, ia adalah untuk menyampaik­an anugerah Persekutua­n kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddi­n Almarhum Sultan Badlishah.

“Tidak ada masalah, semuanya baik,” katanya ketika ditanya sama ada lawatannya ke Kedah hari ini kerana isu lain.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut gembira dengan kepulangan suaminya ke Parlimen.

“Saya rasa sungguh gembira. Dulu beliau dinafikan hak bertanding dan kini kembali ke Parlimen semula. Beliau dapat bertanding selepas mendapat pengampuna­n diraja.

“Kena ingat, beliau tidak pernah mengaku tuduhan dikenakan terhadapny­a. Apa yang berlaku adalah ketidakadi­lan kepada beliau,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula menyifatka­n gandingan Dr Mahathir dan Anwar akan memacu Malaysia menjadi lebih baik menerusi pengalaman yang ada pada kedua-dua pemimpin terbabit.

“Saya percaya regu dan gandingan Dr Mahathir dan Anwar akan mengembali­kan wibawa Malaysia, menjadi gagah dan meningkatk­an pertumbuha­n ekonomi yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Anwar sah menjadi Ahli Parlimen Port Dickson (PD) selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Majlis pada jam 10 pagi itu dimaklumka­n turut dihadiri hampir 600 penyokong Anwar yang menyaksika­n perjalanan detik bersejarah berkenaan menerusi siaran langsung di luar dewan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia