‘Malu ganti Menteri Luar kasar’
Kuala Lumpur: Malaysia tidak mempunyai sebarang dasar luar baharu, pasca peralihan pemerintahan kerajaan susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sebaliknya, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kerajaan ketika ini mempunyai kerangka baharu mengenai dasar luar yang digabungkan dengan kesinambungan pentadbiran terdahulu.
Katanya, isu kononnya Malaysia menerusi kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) cuba mengemukakan dasar baharu sebenarnya berpunca kedangkalan memahami kandungan usul dan penguasaan bahasa Melayu.
“Jelas saya sebut bahawa ini perubahan dalam kesinambungan, bermaksud (dasar) yang (digunakan pentadbiran) dulu itu ada (sebagai dasar luar kerajaan ketika ini).
“Jadi saya harap, tidak timbul soal dasar luar baharu. Jangan bersifat ‘mempertahankan diri’ sangat, sebaliknya terima dengan berlapang dada dan minda yang terbuka.
“Duduk (dalam) dewan ini biar beradab sikit. Kalau tidak saya malu ganti Menteri Luar yang ganas dan kasar begini,” katanya ditujukan kepada Datuk Seri Anifah Aman (Bebaskimanis), semalam.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul memutuskan supaya ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang Ke-71 (UNGA) di New York, pada 28 September lalu dijadikan sebagai kerangka asas dasar luar Malaysia baharu.
Terdahulu, Anifah yang juga bekas Menteri Luar, ketika diberi peluang berbahas, menyifatkan pengenalan dasar luar Malaysia baharu disifatkan sekadar cubaan mencemuh imej negara diterajui pentadbiran terdahulu, yang dikatakan mengambil sikap ‘berpeluk tubuh’ berhubung pelbagai isu dunia.
Beliau yang menyelar tindakan itu, berkata rangkaian dasar digagaskan ‘Malaysia baharu’ ketika ini sebenarnya sudah lama dilaksanakan untuk manfaat penduduk dunia sejagat.
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin mendedahkan yang Wisma Putra kini tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk menampung kos operasi pegawai dan duta Malaysia di luar negara.
Kekurangan peruntukan
Beliau berkata, bagi tahun ini, Wisma Putra kekurangan peruntukan sebanyak RM133 juta sehingga terpaksa merayu kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, untuk mendapatkan peruntukan yang diperlukan.
“Walaupun sudah dimaklumkan kerajaan tidak cukup peruntukan, kami minta juga kalau boleh RM50 juta dan akhirnya Menteri Kewangan beri juga RM40 juta,” katanya.
Saifuddin menjelaskan, peruntukan itu diperlukan Wisma Putra bagi menjaga kebajikan pegawai dan wakil Malaysia di luar negara serta memastikan urusan diplomatik berjalan lancar.
“Kita ada duta yang dihantar untuk mengurus lebih satu negara. Ada duta yang menjadi duta di negara A tetapi duduk di negara B. Dia hendak terbang ke negara B, Wisma Putra minta tangguh sebab tidak ada bajet.
“Punyalah azab dan daif. Kalau hendak diikutkan, dia boleh memandu kereta tetapi kena jaga ‘standard’, takkan naik kereta sampai lapan jam. Mereka pegawai diplomatik kita, takkan daif sangat (kena memandu).
“Ada pegawai kita oleh kerana kadar siling sewa rendah, dia terpaksa duduk jauh daripada kedutaan. Ini menimbulkan masalah, iaitu menaikkan kos pengangkutan.
“Ada yang lari ke kawasan yang tidak sesuai untuk seorang pegawai diplomatik. Malah kita ada satu kes kuarters di Paris rosak, bumbungnya bocor, mengganggu rumah sebelah dan pemiliknya saman kita.
“Oleh itu, saya minta Menteri Kewangan dengarlah keluhan Menteri Luar ini. Berilah bajet kepada kami,” katanya.
Selepas dibahaskan 15 Ahli Parlimen, Dewan Rakyat petang semalam, meluluskan usul menjadikan ucapan Dr Mahathir Mohamad pada UNGA sebagai kerangka asas dasar luar Malaysia.