Berita Harian

Di sebalik kemenangan Anwar

-

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson disambut dengan penuh gembira oleh Pakatan Harapan (PH), bersandark­an majoriti 23,560 yang lebih besar berbanding majoriti 17,710 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Dalam keadaan peratus keluar mengundi yang lebih rendah, iaitu 58.2 peratus berbanding 82.8 peratus pada PRU-14, jumlah undi yang diperolehi PH bagaimanap­un jatuh 14 peratus daripada 36,225 kepada 31,016 undi pada PRK Sabtu lalu.

Undi yang diterima oleh PAS pula meningkat 13 peratus daripada 6,594 kepada 7,456.3 undi.

Jurang majoriti besar ini berlaku kerana terdapat sejumlah besar daripada 18,515 pengundi Barisan Nasional (BN) pada PRU14 tidak keluar mengundi pada PRK kali ini, seterusnya memberi kelebihan kepada calon PH untuk menang di setiap saluran dan pusat pengundian.

Secara nisbahnya, PH mendapat 71 peratus undi popular pada PRK ini berbanding PRU-14 sebanyak 59 peratus, manakala PAS meraih 17 peratus undi popular berbanding 11 peratus pada PRU-14.

Semua calon Bebas pula memungut 12 peratus undi popular dalam keadaan BN yang berada di tempat kedua pada PRU-14 lalu, memperoleh 30 peratus undi popular.

Pengundi bukan PH

Sekiranya peratusan mengundi pada PRK ini tidak terjejas dengan ‘kehilangan’ sejumlah pengundi yang agak signifikan pada PRU-14, mandat diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK ini juga akan terjejas, dengan anggaran majoriti sekitar 19,000 dan 57 peratus undi popular.

Malah, beliau juga berkemungk­inan untuk kalah di beberapa pusat pengundian majoriti Melayu seperti di Linggi dan Bagan Pinang.

Jurang majoriti kemenangan bakal Presiden PKR itu di Port Dickson disumbangk­an oleh sejumlah besar pengundi ‘bukan PH’ yang tidak keluar mengundi dalam PRK kali ini.

Keadaan itu berbeza dengan PAS yang mendapat sedikit lonjakan daripada pengundi ‘bukan PAS’ berbanding PRU yang lalu.

Justeru, hakikat yang perlu diakui oleh PH adalah betapa mandat besar yang memihak kepada Anwar pada PRK Port Dickson, umpama bebuih ombak yang kelihatan banyak, tetapi tidak kukuh dan bersifat sementara.

Mimpi Putrajaya

Rakyat dan anak muda pasti bijak menilai kegagalan PH dalam menunaikan janji manifesto, diikuti pula dengan cadangan cukai baharu bagi menampung kelemahan Cukai Jualan dan Perkhidmat­an (SST).

Selain itu, ada juga pelbagai insiden yang memburukka­n imej parti pemerintah seperti pergaduhan sepanjang pemilihan PKR, serta perebutan pangkat dalam kalangan pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ditambah pula dengan lagak ‘samseng’ wakil rakyat DAP dan aksi ‘berani’ seorang menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkongsi gambar tanpa berbaju di media sosial.

Pemimpin PH yang masih lena dibuai ‘mimpi Putrajaya’ perlu sedar bahawa sokongan rakyat terhadap PH sentiasa berubah setiap hari, umpama air laut di pantai Port Dickson yang ada pasang dan surutnya.

Terserah kepada pemimpin dan rakyat untuk memerhati dan menilainya.

Pemimpin PH yang masih lena dibuai ‘mimpi Putrajaya’ perlu sedar bahawa sokongan rakyat terhadap PH sentiasa berubah setiap hari, umpama air laut di pantai Port Dickson yang ada pasang dan surutnya”

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Gelagat sebahagian penyokong meraih undi pada PRK Port Dickson, Sabtu lalu.
[FOTO HIASAN] Gelagat sebahagian penyokong meraih undi pada PRK Port Dickson, Sabtu lalu.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia